Wednesday 30 October 2013

MELAGUKAN BACAAN AL-QURAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم


               Al-Quran yang diturunkan kepada manusia merupakan kitab yang istimewa. Mententeramkan jiwa. Menjentik hati-hati. Sejarah melakarkan ramai yang memeluk Islam selepas mendengar beberapa ayat daripada Al-Quran. Saidina Omar Radiallahu Anhu. Antara insan yang dilembutkan hati selepas mendengar surah Toha. Ada yang jatuh hati dan terpaku hanya mendengar ayat al-Quran yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan.
           
               Tejasen, seorang profesor daripada Thailand yang mempunyai kepakaran dalam bidang kulit menemukan ayat yang menakjubkan.

”Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS. An-Nisa: 56)

              Persoalan.Adakah perlu melagukan ayat al-Quran ketika membacanya? Terdapat di dalam Sunan An-Nasa’i dan Ad-Darimi serta Al-Mustadrak Al-Hakim dari Barra’ Radhiyallaahu ‘anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

(حَسِّنُوْا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ فَإِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيْدُ الْقُرْآنَ حُسْنًا)
“Baguskanlah Al-Qur’an dengan suaramu, karena suara yang bagus menambah keindahan Al-Qur’an.


           Al-Quran itu indah dan bertambah indah dengan bacaan suara yang bagus. Memperindahkan pembaca yang membacanya.

Dalam Sunan Abi Daud dari Abu Lubabah Radhiyallaahu ‘anhu bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
( لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ )
“Bukan dari golongan kami orang yang tidak melagukan Al-Qur’an.”

An-Nawawi mengisahkan dari Jumhurul Ulama bahawa makna “lam yataghanna” adalah yang tidak membaguskan suaranya ketika membaca Al-Qur’an.
                 
             

Sunday 27 October 2013

KESALAHAN TERTUKAR HURUF

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم





           Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan budaya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia ini merupakan sesuatu yang unik dan dikagumi oleh negara luar. Bahkan kita juga pasti kagum dengan kehebatan orang Negeri Sembilan yang mampu makan lada seperti ulam. 

       Perbezaan bahasa juga adalah satu kekayaan kepada negara kita. Pahang sendiri mempunyai loghat yang berbeza. Mengikut aliran Sungai Pahang kata orang tua-tua. Perbezaan loghat ini juga berlaku di dalam Bahasa Arab. 

      Berimamkan Imam Arab Mesir yang terkesan dengan  loghat bahasa mereka kadangkala menjentik hati kami. Huruf jim dalam bahasa pasar Arab Mesir ditukar kepada ga. Apabila mendengar bacaan اذا جاء tertukar huruf jim kepada ga memberikan kesedaran bahawa arab juga mempunyai masalah sebutan huruf.

     Pada entry kali ini ingin saya kongsi kesalahan yang berlaku dalam surah alfil. Ini kerana surah alfil merupakan antara pilihan bacaan imam di dalam solat. Perlu berhati-hati ketika menyebut huruf ta di dalam kalimah 
yang bergaris di dalam ayat dua di atas. Kebiasaan yang tidak perasan ialah membaca huruf ta dengan huruf to. Daripada tadhlil menjadi todlil. Di dalam al-Quran terdapat banyak kalimah yang boleh berlaku kesalahan sebutan huruf seperti dalam kalimah tersebut. Salah satu teknik untuk selamat daripada kesalahan berikut ialah membaca di hadapan guru yang mahir. 



Wednesday 23 October 2013

ULASAN KELAS BLOG PUAN MASAYU AHMAD

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


              Adat orang yang tidak tahu mestilah perlu berguru. Guru yang  mempunyai kemahiran merupakan satu nilai tambah  bagi seseorang pelajar. Setelah beberapa bulan berguru dengan Puan Masayu Ahmad dalam pembinaan blog akhirnya blog rasmi saya lahir. Mendapat bimbingan secara berterusan walaupun tidak pernah bertemu secara berhadapan.
   
              Medium yang ada pada hari ini seperti internet dan facebook membolehkan kaedah belajar jarak jauh terlaksana dengan baik. Walaupun boleh belajar daripada sifu-sifu youtube tetapi belajar daripada kak MasAyu Ahmad juga menarik.

            Secara keseluruhanya 95% anak murid Puan MasAyu Ahmad adalah wanita. Mungkin tuah saya diterima sebagai murid walaupun saya adalah seorang Adam dan bukan Hawa. Namun begiu melalui kelas asas penulisan blog ini, barulah saya dapat tahu kepentingan penjenamaan nama sebelum menggunakan blog dan sebagainya. Selain itu sedikit sebanyak melalui kelas ini, telah mendorong saya lebih yakin untuk menulis walaupun saya bukan seorang penulis dan buka pelajar sastera Bahasa Melayu tika di bangku sekolah dahulu.

        Adat belajar perlu berguru adalah istilah yang sangat penting agar tidak tersasar. Jika tersasar sudah pasti diulam dengan teguran daripada guru. Permata yang ditabur ketika miskin idea sangat bernilai. Semoga kelas ini berterusan kerana pada pandangan saya yang daif ini ia telah dapat membantu ramai ibu-ibu di luar sana. Dunia yang berbeza ketika ini memberi peluang dan ruang kepada mereka yang bergelar suri rumah sepenuh masa untuk berjaya melalui penulisan blog.

   Terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad atas kelas asas yang memberi input yang baik pada diri saya. Semoga kelas ini berterusan memberikan impak positif kepada masyarakat.

       

                         

MEMINTA-MINTA TETAPI TIDAK TAHU APA YANG DIPINTA

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi


بسم الله الرحمن الرحيم



           Memang indah hidup sebagai seorang Muslim. Kita mempunyai kelebihan terutama ketika kita berada di dalam kesusahan. Kita mempunyai Allah untuk meminta agar segala yang diharapkan dapat kita capai. Mohon untuk rezeki, jodoh, kejayaan kesihatan dan segalanya. Sehinggalah dalam keadaann perang seperti firman Allah swt.


Ÿ
      Dalam ayat di atas Allah swt memberikan jaminan dan ketenteraman kepada Muslim agar tidak berputus asa kerana Allah swt tempat mengadu dan meminta.      

Ketika kecil kita diajar bagaimana berdoa untuk menerangkan hati agar mudah mendapat ilmu. Berdoa memohon keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Terkadang doa yang kita baca tidak lebih hanya sekadar doa bahasa arab tanpa difahami maksud dan erti sebenarnya. Terkadang salah sebutan sehingga berubah sedikit maknanya.

    Suatu  ketika penulis membaca buku yang menarik karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil iaitu RINDU BAU POHON TIN. Terbaca mengenai pengalaman beliau ketika tawaf terdengar doa daripada satu jemaah haji. Doa yang dipanjatkan kehadrat Allah swt dalam Bahasa Arab terdapat kesalahan yang membawa makna " Ya Allah keluarkan kami daripada kegelapan kepada Neraka ". Semoga kita diselamatkan Allah swt daripada azabnya.

    Berdoa di dalam bahasa yang difahaminya dengan  hati  lebih baik daripada meminta tanpa faham. Memohon kepada Allah swt  raja segala bangsa dan bahasa tidak menyebabkan doa tertolak hanya kerana berdoa dalam bahasa selain bahasa Arab.

Kesimpulannnya doa yang dipohon dengan mengikut adab dan bersabar maka kita tidak akan kecewa.


     

Tuesday 8 October 2013

MENCARI TITIK PERTEMUAN

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

        Sewaktu mendengar ceramah Ustaz Abdullah Khairi yang mengetuai Jemaah Haji memang menyentuh hati saya. Menceritakan mengenai sepasang suami isteri yang mengerjakaan haji.

         Usia perkahwinan saya bersama isteri tersayang sudah masuk tahun yang keenam. Saya fikir sudah sampai masanya untuk mencari satu lagi titik pertemuan antara kami. Walaupun dalam banyak perkara kami berkongsi minat yang sama. Menambah hobi yang boleh dikongsi bersama. Kebetulan saya terlihat Bengkel Khat Diwani Anjuran Jabatan Warisan Negara  dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan di status seorang pengamal Khat.

       Mengambil keputusan untuk membawa isteri sekali untuk pergi mengikuti bengkel tersebut. Semoga ini juga merupakan titik pertemuan antara kami. Jumlah yang hadir memang ramai. Jangkaan seratus menjaadi dua ratus. Urusetia memang bagus Bersedia melayan keperluan peserta dengan baik. Saya bagi markah penuh. Makanan pun sedap dan cukup.

      Kursus yang agak santai dan kami seronok sebab mampu sedikit sebanyak mengambil ilmu daripada pakar khat daripada Persatuan Seni Khat Kebangsaan. Kebetulan salah seorang dari mereka merupakan sahabat yang sama tempat belajar ketika di Mesir dahulu.


      Apa yang lebih menarik ialah ada pertandingan menulis kalimah basmalah. Saya akur dan sedar tulisan saya belum berseni. Dua puluh hadiah telah disediakan dan akhirnya nama kami antara nama yang tidak dipanggil sebagai pemenang.  Tapi tidak mengapa, sebab ini merupakan titik pertemuan kami yang baru.

    Sebelum pulang kami sempat menghadiahkan nama bertulisan Khat Diwani kepada diri kami sendiri. Begitu juga diabadikan nama anak-anak kami hasil karya Mohammed Maimun bin Abdurrahman.

   



Tuesday 1 October 2013

KERANA 4 RINGGIT

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi
Gambar : Google


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

                 Pagi ni hantar anak ke Alim Kid. Memang seminggu sekali sahaja kami hantar anak kami ke sana. Pada mulanya saya ingin menceritakan mengenai budaya arab. Tetapi saya perlu berkongsi apa yang berlaku usai saya menghantar anak saya ke Alim Kid.

                   Selepas menghantar anak, saya  pergi ke sebuah restoran. Sebelum ini saya pernah datang ke Restoran tersebut. Harini saya makan lagi di situ. Nescafe tarik dan Roti Arab. Sesudah selesai makan baru saya sedar saya bawak duit besar. Saya beritahu pada akak tu, "maaf kak saya bawa duit besar," sambil menunjukkan  duit RM50.00 . Akak tu tenang dan  memeriksa laci wang. Dia cakap,  "sekejap dik akak tukarkan duit dulu dengan bos." 

                    Bosnya tiada. "Adik, akak takde duit pecah dik. Takpe adik bayar lain kali sahaja ok?"
"Saya tinggal jauh dari sini, kak."  Dengan wajah tenang tanpa marah dan dengan ikhlas dia berkata, "Takpe kalau tak sempat datang pun akak halalkan."

                   Dalam hati saya terucap, "Hebat betul aka ni. Dari luaran nampak biasa tetapi dalaman luar biasa!" Masa tu jugak saya teringat duit syiling dalam kereta dan bertanya padanya, "Akak terima duit syiling?" "Terima dik", jawabnya ringkas.

                   Saya pergi ke kereta dan mengenggam duit syiling dan kira di hadapan akak tersebut. Rasa macam tak cukup. Saya kira dihadapan akak yang baik hati tersebut, " Seposen dua posen tiga posen." Alhamdulillah cukup. "Terima kasih kak. Maaf tak bawak duit kecil." akak tu menjawab, "akak pun minta maaf ye dik." Kesimpulannya pada hari ini saya beruntung bertemu dengan orang yang hebat dalaman kerana empat ringgit.

                Nampak biasa, tetapi kaya jiwa. Dia hanya pekerja, dan kalaulah saya tidak bayar mungkin dia pula yang akan keluarkan duit poketnya untun bayar secawan Nescafe dan sekeping roti arab yang best tu. Alhamdulillah.

Gambar Hiasan
   Pesan ulamak, jangan memandang amalan yang kecil itu kecil kerana mungkin sahaja ia menjadi penyebab seseorang masuk ke dalam syurga. Mungkin sahaja nilai empat ringgit itu kecil, tetapi tidak kecil jika ia menjadi penyebab masuk ke dalam syurga Allah s.w.t

    Seperti kisah perempuan pelacur bersepatu dengan anjing.

Akan saya abadikan gambar yang sempat saya snap di sini. Kalau anda lalu bolehlah singgah untuk bersua muka dengan insan hebat ini. Semoga kita memperolehi jiwa dan hati yang positif sepertinya.

Semoga sentiasa berjumpa dengan insan hebat dalaman lagi.




Gambar Hiasan


sekian.