Showing posts with label Kembara Di Bumi Ambiyak. Show all posts
Showing posts with label Kembara Di Bumi Ambiyak. Show all posts

Wednesday, 28 November 2018

KEMBARA MESIR : TASIK QARUN

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Gambar : Google




Bandar raya Mesir. Sinar matahari menyucuk badan. Perjalanan ke Fayyoum ketika itu dengan menaiki bas. Berhampiran bandar ini terletak satu tasik.  Ikut sejarah, di sini lah sejarah tempat seorang manusia bernama Qarun. 


Keluasan tasik ini adalah 55000 hektar.

Disebut dalam surah al-Qosos ayat 76 m.s 395

Allah berfirman, “Sesungguhnya Qarun termasuk daripada kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta dan kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya, ‘Janganlah engkau terlalu bangga. Allah Taala tidak menyukai orang yang membanggakan diri.’

Sebenarnya Qarun adalah salah satu dari kaum Musa dari kalangan Bani Israil.
Kaya dan dilimpah dengan harta tetapi tidak beriman.
Bermula musuh Qarun dengan Nabi Musa alaihissalam adalah apabila perintah zakat disyariatkan.

Setiap 1000 dinar, satu dinar.
Setiap 1000 kambing, seekor kambing.

Qarun tidak berpuashati.

Dia berkata kepada Bani Israil, "Mari kumpul dekat rumah aku, aku nak bagi zakat dan panggil Musa sekali."

Berkumpul Bani Israil beramai-ramai termasuk Nabi Musa. Dan dalam diam, dia telah upah seorang perempuan mengaku dia berzina dengan Nabi Musa.

Apabila semua dah datang dan Nabi Musa datang Nabi Musa kata, "Bagus Qarun dia dah mula nak bagi harta dia pada orang ramai."

Ketika itu, Qarun berkata kepada Bani Israil, "Wahai saudara-saudaraku sekalian
kalau kita mencuri, syariat Musa kata apa?"

"Kalau mencuri potong tangannya."

"Kalau seorang itu berzina, dan dia tidak mempunyai isteri, apakah kata syariat Musa?"

"Dia akan disebat dengan seratus rotan. Kalau dia berzina dan dia punyai isteri maka dia akan direjam sehingga mati. "

"Kalau begitu, wahai sahabat-sahabat saudaraku sekalian, Musa yang membawa syariat ini, dia telah berzina."

Semua ternganga dan mata terlopong.

"Aku akan panggil perempuan yang telah berzina dengan Musa." kata Qarun.

Maka dipanggil perempuan itu, dan ketika perempuan itu keluar dia berkata, "Ya aku telah berzina dengan Musa!"

Maka gemparlah Bani Israil ketika itu.

Nabi Musa hanya diam dalam keadaan hatinya terharu. Tidak tahu nak cakap apa.
Selepas perempuan itu habis sahaja cakap, Nabi Musa pandang terus tepat ke mata perempuan itu.

"Wahai perempuan, aku ingin bertanya kepada engkau," kata Musa, "di atas nama tuhan yang maha berkuasa, betulkah aku ini tidur dengan engkau?"

Ketika melihat mata Musa alaihissalam, menggeletar tubuh badan wanita itu, 
"Tidak.... tidak, sebenarnya, aku dibayar oleh Qarun."

Terus gempar kaum Nabi Musa dan terus sujud kepada Allah subhanahu wataala. 

Dalam sujud, sebut, "Ya Tuhan, aku ingin keadilan darimu tuhan."

Angkat sahaja kepala Allah subhanahu wataala berfirman, "Wahai Musa, aku perintahkan bumi ini untuk taat kepada engkau."

"Wahai Qarun, berkatalah yang benar." kata Musa.

"Takde-takde dia tengok engkau sebab itu dia takut," kata Qarun, "memang kau berzina, kau tidak selayaknya menjadi Nabi."

Kata Musa alaihissalam, "Kalau perkataan kau dusta, "wahai, bumi ambillah mereka." 
Bergegar bumi, dan bumi mula telan Qarun dan pengawalnya sedikit demi sedikit 
sampai ke buku lali.

Kata Musa, "Wahai Qarun berkatalah yang benar."

Kata Qarun, "Takde Musa kau memang sengaja nak mendoakan aku begini pula. Kau telah berbuat jahat."

Kata Musa, "Wahai bumi, ambillah mereka." Maka bumi menelan mereka sehingga ke dada.

Qarun masih sama mempertahankan.

"Wahai bumi, kalau dia dusta kau telanlah mereka." 
 Maka ditelan bumi sehingga ke paras leher.

Kata Qarun, "Baiklah Musa aku salah."Tetapi sudah terlambat kerana roh telah ditarik sehingga ke halqum. Taubat tidak diterima. Akhirnya tertelanlah Qarun  dan hartanya.


Seluas mata memandang ketika saya melihat tasik Qarun itu. Tak terbayang dalam minda saya, sejarah Qarun dan cerita ustaz masa sekolah dulu begitu besar tasik itu sebenarnya.

Timbul keinsafan. Sesak dada. Semoga Allah memelihara iman ini.


Imam Hafs

Monday, 26 November 2018

AL-QURAN ITU SYIFAK

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Gambar : Google




Langit yang cerah tidak sampai ke petang. Ada masa hujan. Ada masa mendung. Ada masa ribut.

Ada kawasan banjir, ada yang kemarau. Begitu juga kehidupan. Masing-masing dengan ujian. Ketetapan ilahi, untuk menguji iman di dada. Agar memperolehi kekayaan pahala bagi yang genggam sabar.

Pernah satu ketika rakan saya diuji. Dengan sakit yang sedikit misteri. Bermula dengan sakit kaki dan akhirnya beliau tidak dapat bergerak.

Hospital dah pergi. Bahkan, ramai yang ada ilmu datang membantu. Ketika itu, saya dapat melihat pelbagai ragam cara perubatan. 

Nampak sakit tidak juga kebah, ibarat matahari semakin lama semakin panas. Seorang sahabat minta tolong pada seorang syeikh tempat kami belajar.

Syeikh ini, selain mengajar Nahu di masjid, wajahnya sentiasa tersenyum. Melihatkan gigi yang putih bersih selain tasbih di tangan yang sentiasa di pegang. Satu persatu dikira dengan jari. 


"Mana minyak zaitun tadi?", Tanya Syeikh.

"Baik, kamu semua duduk di sini dan baca surah Soffat, setiap ayat dibaca 21 kali."
"Selepas ayat 1 dibaca 21 kali, baca ayat kedua 21 kali dan seterusnya sampai aku suruh berhenti."

Maka bermulalah alunan bacaan al-Quran sebagaimana yang diminta oleh Syeikh.

Syeikh pula dengan senyumannya yang tidak tertanggal, mengambil minyak dan disapu sambil mengurut sahabat kami.

Tidak kepalang menahan sakit. Tetapi Syeikh seperti tidak dengar dan hanya meneruskan sahaja apa yang beliau perlu lakukan.

Selepas sahaja selesai, kami mengangkat sahabat itu ke bilik air. Berkerut dahi saya. Pelik, badannya menjadi berat dua tiga kali ganda.

Ibarat ayat yang al-Quran dimasukkan ke dalam badan beliau.

Dan semenjak hari itu, penyakitnya semakin lama semakin pulih seperti banjir yang kian surut. Dan matahari mulai bersinar. Memancarkan cahaya pengharapan.

Beliau kian pulih dan terus pulih. 

Benarlah al-Quran itu syifak. Berguna bagi mereka yang yakin. 



Imam Hafs


Friday, 23 November 2018

KEMBARA MESIR :LALUAN BAWAH TANAH

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 

Matahari terpacak betul di dada langit. Terasa panas membahang muka saya pada waktu itu. Berjalan laju seperti biasa. Menuju ka hentian Metro bawah tanah. 

Ya ketika kita sedang berbangga dengan teknologi keretapi kita, Mesir juga tentu mengangkat kepala dengan keretapi bawah tanahnya. Fasa pertama yang mula beroperasi pada tahun 1987 adalah perjalanan sejauh 27 kilometer di laluan pertama Helwa ke El-Marg. 

Laluan kedua pula dari Shoubra ke El Mounib dibuka bermula tahun 1996.

Perkembangan rangkaian metro Kaherah ini sangat hebat sehingga hari ini. Dan ketika saya tiba di Mesir pada tahun 2003 dulu saya telahpun menikmati perjalanan bawah tanah ini dengan rasa kagum. "Laluan Binaan Jepun" satu gelaran yang disematkan kerana laluan bawah tanah yang merentas Sungai Nil.

Ya lebih cepat kalau hendak ke Husin atau Attaba dengan menaiki metro. 

Kami pelajar kalau hendak mencari barang-barang murah  dan untuk dibuat buah tangan di sinilah tempatnya.

Ada pasar jubah, minyak wangi, kasut sehingga la ke telefon bimbit. Satu pemandangan yang belum ada di Malaysia ketika itu.

Jenama minyak wangi yang mahal harganya boleh dapat dengan harga semurah LE30 ringgit bergantung kepada kepekatan. Tuan kedai akan bancuh minyak wangi itu di hadapan kita.

Jika di hayyu ashir ada pasar kereta, di sini ada pasar barang perhiasan termasuklah minyak habbatussauda dan sebagainya. 


Imam Hafs

Thursday, 22 November 2018

KEMBARA MESIR : SAKIT

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 

Sihat dan sakit itu lumrah kepada kita sebagai manusia. Kita bukan malaikat. Jadi untuk mengelak dari sakit di Mesir adalah suatu perkara yang agak mustahil kerana udara di sana tidak sama seperti di tanah air.


Saya juga pernah demam ketika di sana dulu. Jadi kita akan dengar apa yang diberitahu oleh orang lama. 

Pertama, lebihkan vitamin c. Ambil yogurt lebih. Di sana, kita akan terus dapatkan ubat di farmasi. Kalau pergi ke hospital kita akan dapatkan nama ubat dari doktor dan terus ke farmasi.  


Tempat yang ada lambang ular tu kan. Saya pula kalau demam akan pakai baju tebal dan berjalan sehingga keluar peluh. Bila keluar sahaja peluh epat sikit demam hendak kebah.


Selain itu, saya memang ada bawa bekal ubat dari Malaysia.  Pil Chi Kit Teck Aun saya ada bawa satu bundle sebab saya tahu kalau sakit perut ini ubat yang sesuai dengan  saya.


Jadi bagi mereka yang ada penyakit dan tahu ubat apa perlu di bawa boleh sahaja bawa ke sana. Tetapi jangan risau di sana juga terdapat farmasi dan ubat tidak lah terlalu mahal.

Yang penting  jangan hanya terperuk sahaja di dalam bilik. Perlu bangkit dan cari tenaga dan semangat baru.


Imam Hafs

Sunday, 18 November 2018

KEMBARA MESIR : CERITA ORANG LAMA

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Satu ketika saya berbual dengan seorang ustaz. Beliau adalah antara generasi awal yang sambung belajar di Shubra.

Baliau sempat berguru dengan Syeikh Sayyid.

Dia mula bercerita.

"Satu hari, kami saja pergi ke Taman Haiwan."

"Kemudia  terus pergi ke Syeikh Sayyid."

"Nak tahu Syeikh cakap apa?"

"Hangpa ni, pergi tengok haiwan tu, kat tempat hangpa takdak ka."
"Buang masa. Quran belum ngulang lagi."

Ustaz tu cerita dengan dialek Kedah.

Kami waktu tu, duk pandang sesama kami, siapa pulak bagitahu Syeikh Sayyid ni.

Begitu juga cerita orang lama pasal Syeikh yang buta tegur mereka suruh cuci muka sebab mengantuk. Sedangkan mereka duduk kat belakang. Bukan tegur umum, tapi sebut nama suruh bangun.

MasyaAllah. Mereka melihat dengan cahaya Allah subhanahu wataala.

Begitulah. Banyak lagi cerita pelik pada pandangan zahir kita yang disaksikan sendiri penuntut ilmu di negeri padang pasir ini.


Akan dikongsikan di entry berikut insyaAllah




Imam Hafs