Showing posts with label Kisah Dari Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Kisah Dari Al-Quran. Show all posts

Wednesday, 31 December 2014

Insya Allah

Teks : Firdaos Mohd Rawi

Gambar : Laptop



بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Akhir tahun lepas kelas tahsin al-Quran di pusat pengajian al-Quran, kami telah sampai pada ayat ke 24 daripada surah al-Kahfi. Ketika ayat yang menceritakan mengenai pemuda a-Kahfi dipertengahan cerita Allah swt telah memberi teguran kepada Nabi saw. Apakah teguran tersebut?

Pada awal surah al-Kahfi diceritakan mengenai 3 persoalan yang telah ditanya kepada Nabi saw. 
1- Mengenai roh.
2- Mengenai pemuda ashabulkahfi.
3- Mengenai Iskandar Zulkarnain

Apabila Nabi saw mendapat soalan daripada kaum musyrikin ketika itu, baginda memberitahu bahawa esok hari baginda akan memberikan jawapan. Ketika menuggu Malaikat utusan wahyu Jibril alaihissalam pada malam hari ternyata Malaikat Jibril tidak datang.

Baginda menunggu sehingga 15 hari. Ayat 23 dan 24Allah swt mengajar baginda sekiranya ingin melakukan sesuatu, atau berjanji sesuatu hal maka perlu dilapik dengan InyaAllah( dengan izin Allah swt ).

Segalanya ditentukan oleh Allah swt. Kita usaha tetapi segalanya dengan izin Allah swt jua. Jadi apa yang akan kita buat, janji dan perancangan akan datang kita perlu sertai dengan izin Allah swt.

Dengan erti kata lain janganlah apabila menghadapi sesuatu urusan memberikan kata pasti akan dipenuhi esok sebab apa yang terjadi esok bukan atas genggaman tangan kita. Setiap yang kita rancang terdapat rancangan yang lebih hebat dan kuat iaitu perancangan Allah swt.

Perlulah dialas segala janji itu dengan Insya Allah. Dan Allah swt memperingatkan Nabi saw agar ketika lupa maka ingatlah Allah swt kerana ia lupa merupakan kelemahan kita sebagai seorang manusia. 

Memang kita kerap lupa dan terlalai. Ia bukan disengajakan. Itulah kelemahan manusia maka perlu mengingati Allah swt agar kita diberikan jalan petunjuk.

Kelebihan Mempelajari Al-quran





Saturday, 6 December 2014

PERKONGSIAN KETIKA KEM TAHFIZ DAN SMART SOLAT 2014

Teks : Firdaos Mohd Rawi

Gambar : Simpanan Peribadi


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Satu perkongsian bersama peserta Kem Tahfiz pada kali ini ialah mengenai kisah Nabi Yusof alaihissalam. Antara Nabi dan Rasul yang biasa dititpkan kisahnya samaada kepada muda mahupun kepada yang tua. 

Ia mempunyai pengajaran yang sangat banyak. Dan ia merupakan kisah Nabi yang dikisahkan dengan secara terperinci kisahnya daripada kecil sehinggalah dewasa.

Antara yang saya kongsikan adalah berkenaan dengan keturunan Nabi Ya'qub ayah kepada Nabi Yusof.




Lea dan Rakhel adalah adik beradik. Syariat ketika zaman Nabi Ya'qub alaihissalam membenarkan perkahwinan antara dua beradik di dalam satu masa. Berbeza dengan syariat kita ummat Muhammad saw tidak boleh berkahwin dengan dua saudara di dalam satu masa.

Yusuf dan Bunyamin merupakan adik beradik daripada isterinya Rakhel. Ketika lahirnya Bunyamin, Rakhel meninggal dunia. 

Masih ingat kisah mimpi Nabi Yusuf alaihissalam? Ya mimpi sebelas bintang, matahari dan bulan yang sujud padanya. Apabila dikisahkan mimpinya kepada Nabi Ya'qub, baginda berpesan kepada Yusuf agar tidak menceritakan mimpi tersebut kepada saudaranya yang lain.

Ketika itu, rasa dengki dan irihati mereka terhadap Yusuf sangat menebal. Mereka merasakan ayah mereka Ya'qub lebih menyayangi Yusuf. Mereka telah merancang untuk melakukan sesuatu kepada Yusuf.

Apa yang berlaku? Bermulalah pengembaraan Yusuf yang mana ketika itu berusia 12 tahun.

Akan bersambung.....



Kelebihan Mempelajari Al-quran

Sunday, 26 January 2014

PASUKAN ABRAHAH YANG KECUNDANG

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : http://50watts.com/



Pasukan Abrahah


بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





Mekah merupakan tempat berbarakah bagi umat Islam. Kunjungan manusia ke tempat yang paling tengah di bumi ini, berterusan sepanjang tahun. Akan bertambah bilangan penziarahnya terutama pada musim Haji dan pada bulan Ramadhan almubarak.


Terdapat banyak sejarah yang melibatkan qiblat umat Islam ini. Antaranya adalah salah satu peristiwa yang berlaku 50 hari sebelum kelahiran utusan terakhir, Nabi Muhammad saw. Tatkala kisah penuh bersejarah ini tertulis di kitab-kitab sejarah, al-Quran juga merakamkan kejadian ini di juzuk yang ke 30.


Lima ayat daripada surah al-Fil sudah menunjukkan bahawa kisah ini perlu diceritakan dan dikisahkan agar ia tidak dilupa dan dipinggirkan. Kisah ini sangat menggemparkan kerajaan Rom dan Parsi ketika itu. Abrahah merupakan satu nama pemimpin ketika itu sangat benci dan irihati kepada Kaabah yang menjadi tumpuan ramai manusia ketika itu.

Abrahah telah membina sebuah tempat yang disaluti dengan emas dengan harapan manusia akan mengalihkan perhatian mereka daripada Kaabah ke bangunan yang dibinanya. Malang sekali harapannya meleset.

Kemuncak kebencian Abrahah ialah apabila seseorang telah menyelinap masuk dan melumurkan kotoran pada tempat yang telah dibinanya. Akhirnya Abrahah telah mengerahkan 6 ribu tentera dan 9 atau 13 ekor gajah menuju ke Mekah.

Abrahah menaiki gajah yang paling besar dan berada di hadapan tentera-tenteranya. Bergerak dengan penuh sombong dan yakin akan menghancurkan Kaabah.

Sebelum tiba ke Mekah. Abrahah dan tenteranya telahpun merampas harta penduduk Mekah antaranya 200 ekor unta kepunyaan Datuk Nabi Muhammad saw Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib telah datang menemui Abrahah dan meminta semula unta yang telah dirampas. Terkejut Abrahah kerana Abdul Mutallib hanya datang untuk mengambil unta dan tidak merayu agar tidak menghancurkan Kaabah.

Abrahah bertambah marah kerana Abdul Mutallib berkata, "Aku adalah tuan kepada unta ini dan menjadi tanggungjawab aku untuk menjaganya, sedangkan Kaabah akan dipelihara oleh Allah."

Selepas mendapatkan untanya Abdul Mutallib kembali bersama penduduk mekah ke lereng-lereng bukit. Ketika itu Mekah telah kosong kerana penduduk Mekah telah keluar untuk menyelamatkan diri.

Apa yang menghairankan ialah ketika Abrahah sampai di satu tempat gajahnya berhenti dan duduk. Tidak mahu bergerak ke Mekah. Jika di bawa mengarah ke tempat selain Mekah gajahnya akan patuh tetapi untuk menuju ke Mekah mereka enggan.

Ketika sedang bingung mereka mendapati burung-burung yang datang dan berbunyi dengan kuat menyebabkan Abrahah dan tenteranya menutup telinga. Didapati burung-burung tersebut membawa tiga biji batu. Satu di paruh dan dua biji lagi di kedua belah kakinya.

Lalu mereka dilemparkan dengan batu yang panas tersebut menyebabkan mereka lari bertempiaran. Bagi yang kena batu tersebut badan mereka jadi berlubang-lubang seperti daun yang dimakan ulat.

Ada yang mati kerana terpijak oleh rakan mereka sendiri. Abrahah berjaya menyelamatkan diri daripada mati dan kembali ke tempat jajahannya. Dia akhirnya ditimpa penyakit luluh tulang sendinya dan akhirnya mati.

Begitulah kisah Abrahahh dan tenteranya yang tercatit di dalam al-Quran. Menunjukkan pengajarannya sangat besar sehingga tercatat di dalam kitab nan agung ini. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

Ingatlah tentera-tentera Allah bukan sahaja manusia bahkan Allah swt boleh memilih sesiapa sahaja daripada makhluknya untuk menjadi tentera yang gagah dan hebat.

Kelebihan Mempelajari Al-quran