Sunday 26 January 2014

PASUKAN ABRAHAH YANG KECUNDANG

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : http://50watts.com/



Pasukan Abrahah


بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





Mekah merupakan tempat berbarakah bagi umat Islam. Kunjungan manusia ke tempat yang paling tengah di bumi ini, berterusan sepanjang tahun. Akan bertambah bilangan penziarahnya terutama pada musim Haji dan pada bulan Ramadhan almubarak.


Terdapat banyak sejarah yang melibatkan qiblat umat Islam ini. Antaranya adalah salah satu peristiwa yang berlaku 50 hari sebelum kelahiran utusan terakhir, Nabi Muhammad saw. Tatkala kisah penuh bersejarah ini tertulis di kitab-kitab sejarah, al-Quran juga merakamkan kejadian ini di juzuk yang ke 30.


Lima ayat daripada surah al-Fil sudah menunjukkan bahawa kisah ini perlu diceritakan dan dikisahkan agar ia tidak dilupa dan dipinggirkan. Kisah ini sangat menggemparkan kerajaan Rom dan Parsi ketika itu. Abrahah merupakan satu nama pemimpin ketika itu sangat benci dan irihati kepada Kaabah yang menjadi tumpuan ramai manusia ketika itu.

Abrahah telah membina sebuah tempat yang disaluti dengan emas dengan harapan manusia akan mengalihkan perhatian mereka daripada Kaabah ke bangunan yang dibinanya. Malang sekali harapannya meleset.

Kemuncak kebencian Abrahah ialah apabila seseorang telah menyelinap masuk dan melumurkan kotoran pada tempat yang telah dibinanya. Akhirnya Abrahah telah mengerahkan 6 ribu tentera dan 9 atau 13 ekor gajah menuju ke Mekah.

Abrahah menaiki gajah yang paling besar dan berada di hadapan tentera-tenteranya. Bergerak dengan penuh sombong dan yakin akan menghancurkan Kaabah.

Sebelum tiba ke Mekah. Abrahah dan tenteranya telahpun merampas harta penduduk Mekah antaranya 200 ekor unta kepunyaan Datuk Nabi Muhammad saw Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib telah datang menemui Abrahah dan meminta semula unta yang telah dirampas. Terkejut Abrahah kerana Abdul Mutallib hanya datang untuk mengambil unta dan tidak merayu agar tidak menghancurkan Kaabah.

Abrahah bertambah marah kerana Abdul Mutallib berkata, "Aku adalah tuan kepada unta ini dan menjadi tanggungjawab aku untuk menjaganya, sedangkan Kaabah akan dipelihara oleh Allah."

Selepas mendapatkan untanya Abdul Mutallib kembali bersama penduduk mekah ke lereng-lereng bukit. Ketika itu Mekah telah kosong kerana penduduk Mekah telah keluar untuk menyelamatkan diri.

Apa yang menghairankan ialah ketika Abrahah sampai di satu tempat gajahnya berhenti dan duduk. Tidak mahu bergerak ke Mekah. Jika di bawa mengarah ke tempat selain Mekah gajahnya akan patuh tetapi untuk menuju ke Mekah mereka enggan.

Ketika sedang bingung mereka mendapati burung-burung yang datang dan berbunyi dengan kuat menyebabkan Abrahah dan tenteranya menutup telinga. Didapati burung-burung tersebut membawa tiga biji batu. Satu di paruh dan dua biji lagi di kedua belah kakinya.

Lalu mereka dilemparkan dengan batu yang panas tersebut menyebabkan mereka lari bertempiaran. Bagi yang kena batu tersebut badan mereka jadi berlubang-lubang seperti daun yang dimakan ulat.

Ada yang mati kerana terpijak oleh rakan mereka sendiri. Abrahah berjaya menyelamatkan diri daripada mati dan kembali ke tempat jajahannya. Dia akhirnya ditimpa penyakit luluh tulang sendinya dan akhirnya mati.

Begitulah kisah Abrahahh dan tenteranya yang tercatit di dalam al-Quran. Menunjukkan pengajarannya sangat besar sehingga tercatat di dalam kitab nan agung ini. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

Ingatlah tentera-tentera Allah bukan sahaja manusia bahkan Allah swt boleh memilih sesiapa sahaja daripada makhluknya untuk menjadi tentera yang gagah dan hebat.

Kelebihan Mempelajari Al-quran

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Cerita yang menarik dan laku, Surah Al-fil menceritakan tentang ini juga... Terima kasih, Mohd.

    ReplyDelete