Sunday 14 February 2016

IMAM HAFS

Teks : Firdaos Mohd Rawi

Gambar : Laptop



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani




Imam Hafs
Masjid Kufa 1915


والأخذ بالتجويد ختم لازم  من لم يجود القرءان آثم
لأنه به الإلــه أنزلا   وهكذا عنه إلينا وصلا


Dan membaca al-Quran dengan bertajwid sesuatu yang mesti ( wajib )
Barangsiapa yang tidak bertajwid dalam membaca al-Quran maka berdosalah dia.
Kerana al-Quran itu diturunkan Allah swt dengan bertajwid
Dan begitulah sampai kepada kita al-Quran dengan bertajwid.
-Imam Al-Jazari r.a -

PERSOALAN


Bila orang bertanya kita, " Kamu bermazhab apa?". Dengan mudah kita menjawab aku bermazhab Syafie. Apabila kita ditanya kita membaca al-Quran ikut siapa. Kita jawab Imam Hafs An Asim.

IMAM HAFS AN ASIM ( امام حفص عن عاصم )  


Di Malaysia kita tidak berapa terdedah dengan ilmu qiraat. Ilmu Qiraat merupakan ilmu yang menerangkan berkenaan dengan bacaan-bacaan yang diriwayatkan daripada imam-imam Qiraat.

Imam ikutan kita di dalam pembacaan al-Quran adalah Imam Hafs. Elok juga kita mengenali peribadi imam hafs ini memandangkan kita di Malaysia memang membaca dengan bacaan mengikut
( riwayat ) apa yang telah diambil daripada Imam Hafs. 

Apa yang perlu kita faham, bacaan tersebut diambil daripada Rasulullah ﷺ  dan bukan dicipta oleh Imam Qiraat. Begitulah ia diperturunkan secara talaqqi daripada Rasulullah ﷺ kepada sahabat baginda. 

Para sahabat pula mengajarkan pula kepada generasi selepas mereka dan ia diperturunkan melalui kaedah talaqqi sebagaimana Rasulullah ﷺ bertalaqqi dengan Malaikat Jibril alaihissalam.

Begitulah berterusan proses bertalaqqi dari generasi kepada generasi sehinggalah ke zaman kita ini.
Kita terkadang pernah mendengar bacaan al-Quran yang berbeza dengan bacaan yang kita amalkan cuma kita tidak perasan kerana ilmu Qiraat ini merupakan ilmu yang tidak popular di kalangan kita.

Sekiranya kita pergi ke Universiti Islam Antarabangsa kita boleh mendengar bacaan yang agak berbeza daripada pelajar yang datang dari belah Afrika yang membaca mengikut riwayat Warsh.

Imam hafs lahir pada tahun 90 hijrah dan wafat pada tahun 180 hijrah. Mengambil bacaan terus daripada imam Asim tanpa perantaraan. Beliau merupakan guru yang masyhur meriwayatkan bacaan daripada Imam A'sim. 


KAITAN IMAM HAFS DAN IMAM A'SIM


Apakah kaitan Imam Hafs dan Imam A'sim? Selain beliau dikenali sebagai anak murid dan tuan guru, Imam A'sim juga adalah bapa tiri kepada Imam Hafs. Disebabkan beliau selalu bersama dengan Imam A'sim maka beliau selalu berpeluang membaca dan bertalaqqi bacaan al-Quran sehingga beliau merupakan murid yang masyhur meriwayatkan bacaan Imam A'sim. Imam A'sim merupakan kalangan tabi'en.

IMAM ASIM

Beliau telah mengambil bacaan daripada Abu Abdur Rahman As-sulami dan Zirr bin Hubaisy Al-Asadi. Abu Abdur Rahman As-sulami pula telah mengambil bacaan secara talaqqi daripada sahabat Rasulullah ﷺ iaitu Ali bin Abi Talib. Ali bin Abi Talib pula mengambil bacaan daripada Rasulullah ﷺ.


Imam Hafs