Tuesday 29 August 2023

MASUK RUMAH BAGI SALAM

 Tulisa : Firdaos Mohd Rawi


"Tidak ada tempat bermalam untuk kita hari ini. Dia cakap macam tu dekat teman dia"

"Siapa abi?"

"Dalsim"

"Dalsim tu siapa?"

"Syaitan. Kalau kita balik rumah, ada orang ataupun tak ada orang mesti biasakan bagi salam. Bila kita bagi salam, syaitan takde tempat untuk duduk dekat rumah kita."

"Bagi salam macam biasa ke?"

"Assalamualaikum. Assalamu 'alaina wa'ala 'ibadillahissolihin."

Cuti sekolah tinggal rumah balik kampung atau bawa keluarga pergi bercuti. Mesti dibiasakan masa sampai rumah. Masuk bagi salam.


Agar rumah selamat dari syaitan. 


Tuesday 24 January 2023

1 REJAB

 Teks : Firdaos Mohd Rawi

Sedar tak sedar bulan Rejab akhirnya tiba. Tiba sahaja bulan Rejab, kita dah mula sedar akan hampirnya bulan Ramadan. 

Waktu ini kita mula berdoa, "Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan."

Bulan Rejab ini adalah bulan haram. Walaupun masyarakat Arab yang jahil ketika itu hidup dalam keadaan yang gelap, tiba sahaja bulan Rejab mereka akan muliakan. Mereka muliakan dengan mengharamkan sebarang peperangan. 

Islam juga memuliakan bulan ini. Dan banyak peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab. 

Israk Mikraj, hijrah, pembebasan baitul maqdis dan banyak lagi. 

Apa yang boleh dilakukan dalam bulan ini adalah meningkatkan amalan. 


Thursday 23 June 2022

TEKNIK HAFAZAN DAN MENGULANG AL-QURAN AGAR INGAT SEMUANYA

Ada dua orang kawan yang sama-sama masuk ke Maahad Tahfiz.

Tahun yang sama tetapi Maahad yang berbeza.

Selepas masing-masing keluar, seorang dari rakannya boleh ingat seluruh isi al-Quran yang telah dihafaz. Seorang lagi tidak ingat keseluruhan. Mungkin ingat beberapa juzuk dari apa yang telah dibaca di hadapan gurunya.

Ada orang kata ianya rezeki masing-masing. Ya betul.

Mungkin juga teknik yang digunakan berbeza.

Ada 1 teknik yang sangat baik jika dapat diamalkan akan berikan kesan yang sangat baik buat penghafal al-Quran.

Sebelum itu, kita fahami dulu istilah di bawah ini. Agar dengan faham istilah ini, kaedah ataupun teknik ini dapat digunakan bagi penghafaz al-Quran.

Tahfiz Jadid ( Hafaz ayat baru)
Tasmik Tahfiz Jadid ( Baca di hadapan guru hafazan baru )
Tasmiq Sabqi Baru (SB) ( Baca di hadapan guru / rakan bagi hafazan baru)
Tasmiq Sabqi Lama (SL) ( Baca di hadapan guru / rakan bagi hafazan lama)
Murajaah Manzil (MM) ( Ulangan ayat manzil)

Ketika menghafaz akan ada dua proses yang utama.

1- Ziyadah ( Tambahan hafazan baru)
2- Murojaah (Ulangan ayat yang telah dihafaz )


1- Ziadah
Untuk hafazan baru, adalah dinasihatkan untuk para penghafaz untuk mengulang hafazan baru sebanyak 40 kali. Adalah sangat baik apabila murid membaca hafazan baru dalam keadaan mereka benar-benar ingat. Atau telah mengulang banyak ketika proses hafazan baru. Ini bagi memudahkan proses murajaah seterusnya.

2- Murojaah
Proses murojaah atau pengulangan adalah proses yang amat penting bagi mengekalkan ingatan pada ayat yang telah dihafaz. Ia sangat penting, sebab sebanyak manapun seseorang itu ulang ketika hafaz alquran, jika tidak ada proses murojaah ini, hafazan akan hilang.
Walaupun ayat tadi telah diulang beratus kali.

Proses ulangan yang disarankan.

Murojaah Sabqi ( Ulangan Sabqi)

Sabqi adalah murojaah atau ulangan ayat yang baru ditasmik.

Contoh
Pada hari Isnin, dia baru hafaz dan tasmik bacaan hadapan guru ayat pada juzuk 5 muka surat 82. (Tahfiz Jadid)
Habis sahaja baca di hadapan guru, muka surat 82 tadi dinamakan sebagai (Sabqi Baru).

Jadi dari hari pertama (Isnin) dia tasmik Sabqi muka surat pertama (m.s 82).
Hari kedua (Selasa) dia tambah Tahfiz Jadid yang baru iaitulah muka surat kedua dari juzuk 5 (m.s83)

Muka surat 1(m.s82) dan 2(m.s83) dari juzuk 5 ini jadi sabqi baru.
Seterusnya muka surat 3 dari juzuk 5 (m.s 84)
Jadi sabqi ada 3 halaman.

Isnin m.s 82 (Sabqi baru)
Selasa m.s 83 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-83
Rabu m.s 84 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-84
Khamis m.s 85 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-85
Jumaat m.s86 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-86

Maka Sabqi baru untuk minggu pertama ada 5 muka.

Setiap hari mesti diulang bacaan Sabqi baru ini. Fungsi sabqi baru ini adalah untuk ikat hafazan yang baru di tasmik hadapan guru.

Begitulah sehingga halaman ke-20.

Setakat ni boleh faham ke? Tak faham boleh tanya terus.

Untuk habiskan 1 juzuk begini kiraannya.

1 Juzuk = 20 Muka surat
1 bulan = 30 hari
Tolak 4 hari cuti ( Sabtu Ahad)
Jadi sebulan tinggal 26 hari.
Kalau istiqomah 1 hari 1 muka jadi dia perlu 20 hari untuk siapkan 1 juzuk,
ada lebihan 6 hari. 6 hari ni untuk persiapan Murojaah Kenaikan Juzuk (MKJ). 6 hari ni masa untuk lancarkan sebanyak 1 juzuk yang baru ditasmik bulan semasa. Dalam contoh ni juzuk 5.

Kalau dia istiqomah betul-betul, dia hanya perlu 2-3 hari sahaja untuk selesaikan MKJ.
Ikutkan tadi ada 6 hari kan. MKJ ni apa?

Prosesnya adalah, ditasmik terus 1 juzuk.
Kalau boleh tasmik semua dengan lancar dan jawab semua, maka Juzuk 5 tadi naik taraf kepada ayat manzil.

Murojaah Kenaikan Juzuk ini adalah tasmik terus 1 juzuk tadi.
Ada yang buat 5 muka surat dulu, ada yang 10 muka surat terus. Apa yang penting habis tasmik sabik 1 juzuk.

Selesai MKJ, dia akan proses untuk Ujian kenaikan Juzuk (UKJ).
Cara buat UKJ ini adalah disoal dan ditebuk ayat juzuk 5 ni.

Guru tebuk murid tadi juzuk yang telah dia hafaz. Boleh atau tidak untuk jawab semua. Ujian ini bila lulus, barulah boleh hafaz yang baru.

Biasanya bila dah amalkan murojaah sabqi ini dia boleh jawab. Sebab setiap hari baca.

Maka Juzuk 5 tadi naik taraf kepada ayat manzil.

Kiranya dia telah ada 1-5 juzuk ayat manzil.

Murojaah Manzil.

Murojaah manzil ini adalah murojaah yang rutin dibaca secara urutan dari juzuk 1 sehingga juzuk terakhir yang mana selain juzuk yang tengah hafaz.

Jika sekarang dia tengah hafaz juzuk lima, jadi Murojaah Manzil ini adalah dari juzuk 1 hinggalah juzuk 4.

Terpulang nak baca berapa banyak. Setengah juzuk ke. 1 juzuk ke yang penting dalam 1 minggu, dia boleh habiskan murojaah Manzil. Dalam contoh ini dari juzuk 1-4.

Dan murojaah Manzil ini adalah murojaah yang wajib disemak. Samaada dengan guru, ataupun dengan teman.

Boleh buat battle. Dan sebagainya.
Dicatat kalau ada kesalahan.

Dan dengan buat proses Murojaah Manzil ini, dengan secara tidak sedar murid sedang buat Simulasi Ujian Tahfiz Setiap Hari.
Kerana telah biasa semak hafazan kawan-kawan. Dengan sistem koreksi dan markah tadi.

Ini contoh 1 muka surat.
Boleh juga diamal untuk yang menghafaz 1 maqra. Yang penting proses sebelum naik ke juzuk baru itu penghafaz telah benar lancar hafazan lama.

Fakta. Biasa murid akan fokus untuk tambah hafazan baru sahaja. Tambah, tabah dan tambah.
Tetapi Murojaah sangatlah penting.
Penting untuk kekalkan hafazan.
Masalahnya adalah apabila sudah selesai hafaz 20 muka surat, tanpa proses murojaah ayat itu akan lupa dan terpaksa hafaz semula muka surat belakang tadi.

Dan biasanya untuk hafal semula agak berat.

Semoga dengan cara yang teratur ini, hafazan akan kekal dalam ingatan penghafaz.

Firdaos Rawi


Tuesday 4 January 2022

MATLAMAT MEMBACA

Ketika mana kekasih yang kita rindu iaitulah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pertama kali mendapat wahyu, 5 ayat yang pertama yang diterima oleh Nabi adalah dari surah al-Alaq. 

Apakah suruhan dan saranan pencipta kita ketika itu?

Ya betul. Bacalah. Bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan. 

Sudah tentu kita terfikir, dalam banyak-banyak suruhan atau perintah yang Allah boleh suruh buat, samaada solat, puasa, zakat dan sebagainya kenapakah BACA merupakan arahan pertama dari Allah yang menjadikan. 

Kita sedar Allah yang mencipta kita lebih kenal dan lebih sayang diri kita lebih dari kita kenal dan sayang diri kita sendiri. Dan apa sahaja yang Allah suruh sudah pasti ia adalah kebaikan untuk diri kita. Maha suci Allah dari berbuat zalim kepada makhluknya.  

Jadi kita pun mula membaca. Cuma apabila mula membaca, terdapat beberapa masalah yang timbul. Mungkin kalau bukan masalah, ia boleh dinamakan halangan. 

1- Tidak faham.

2- Tidak cukup masa.

3- Mengantuk

4- Bosan

5- Tidak mula.

Dan apabila jadi macam ini, menyebabkan rasa tak berapa pandai. Rasa nak putus asa dari membaca. 

Tapi ada je orang lain yang membaca dan menikmati bacaan mereka. Walaupun bacaan yang mereka baca itu adalah satu ilmu yang berat.

Apabila ditanya, bagaimana kamu boleh baca buku yang banyak dan masih lagi terus membaca, dia beri beberapa soalan yang perlu kita soal diri kita sendiri. 


1- Kenapa kita membaca?

Adakah kerana untuk hanya mendapat maklumat atau adakah kerana kita hendak belajar. 

Adakah kerana kita hendak menikmati bacaan seperti membaca surat khabar sahaja?

Jika kita sekadar membaca untuk mendapat hiburan dan suka-suka maka kita tidak ada tujuan yang besar ketika membaca. 

Jadi kita perlu ubah cara kita fikir. Kenapa kita membaca. 

Aku membaca kerana nak faham. 

Aku membaca kerana hendak berubah.

Bukan sekadar suka-suka macam baca surat khabar. Selepas baca, segala maklumat itu habis. 

Dan sebab itu juga kita banyak membaca sambil baring-baring. Tidak aktif. Kita baca secara pasif. 


Membaca untuk mendapat kefahaman, dan dengan kefahaman itu aku boleh berubah cara fikir untuk jadi orang yang berbeza. Yang boleh beri manfaat kepada orang lain. 

Jadi, dengan niat begini, kita akan membaca dengan betul. Walaupun membaca pertama kali tak faham, kita akan baca lagi. Berkali-kali sehingga faham, sebab tujuan kita baca sebab nak faham. 


Sebab itu membaca ini adalah satu kerja yang susah. 

Sebab kita perlu masa untuk faham dan hadam.


Firdaosrawi. 



Saturday 1 May 2021

Kekeliruan Tentang Penulisan al-Quran

 Saya mencari penulisan saya berkenaan penulisan al-Quran di blog saya. Tentang sejarah penulisan al-Quran. Rupanya tiada entry di sana tentang penulisan al-Quran.

Saya nak copy dan paste di sini. Tak jumpa. Jadi saya tulis sahaja di sini. Kenapa saya cari? Saya perasan ada sedikit kekeliruan tentang sejarah penulisan al-Quran. Mungkin ada yang terkeliru bahawa tiada penulisan al-Quran berlaku di zaman nabi dan percaya bahawa pada zaman nabi al-Quran hanya dijaga secara hafaz terus di dalam dada para sahabat. Hakikatnya, penulisan al-Quran telah berlaku sejak zaman nabi lagi. Setiap wahyu yang diturunkan ketika itu terus ditulis oleh para penulis wahyu yang telah dilantik oleh nabi antaranya Abdullah ibnu Saad, Uthman ibnu Affan, Ali ibnu Abi Talib, Ubai ibnu Kaab, Zaid ibnu Thabit dan Muawiyah ibnu Abi Sufyan. Cara tulisan ayat al-Quran ketika itu adalah ia ditulis di pelepah tamar, tulang unta dan tulang kambing yang telah disamak. Juga pada potongan kayu dan ketulan batu. Jadi selain ayat al-Quran dipelihara di dada-dada para sahabat dengan secara hafazan, ia juga dipelihara dengan tulisan-tulisan sahabat yang telah ditugaskan oleh Nabi sollallhu alaihi wasallam. Dan ketika itu, hanya wahyu berupa al-Quran sahaja ditulis. Wallahu a'lam. #Firdaosrawi

Thursday 20 December 2018

ANDA TIDAK PERLU TAHU HURUF HIJAIYYAH UNTUK MEMBACA ALQURAN

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Gambar : Google

Bila kita mula sekolah benda asas kita belajar adalah ABC. Begitu juga masa kita mula belajar mengaji kita belajar 29 huruf hijaiyyah. Sebab dengan asas ini baru kita boleh membaca. 

Kita berpandangan bahawa dengan kuasai huruf ini barulah kita boleh baca al-Quran.
Jadi orang yang tidak kenal huruf tidak boleh membaca al-Quran.
Sebab kita pegang ia adalah perkara asas. Ia betul. Namun, boleh atau tidak anak kecil atau kita tidak kenal huruf namun boleh baca al-Quran?

Sudah tentu boleh. Macam kueh atau roti canai, asas nak dapat makan mesti tahu cara nak uli. Kalau kita belajar buat sendiri, boleh cuma lambat sikit nak dapat.
Tapi kalau tak tahu pun kita tetap boleh makan. Kita pergi kedai mamak kita beli. 

Dan begitulah apabila anak kita, kita hantar mereka ke kelas mengaji. Dengan ustazah di hujung kampong contohnya. Atau rumah di sekitar taman. Untuk belajar asas sebelum dapat baca al-Quran. 

Ali Ba Ta. Namun sebelum asas tu dikuasai, kita boleh dah ajar mereka baca al-Quran dengan tidak perlu melihat al-Quran. Macam surah Fatihah yang kita pernah hafal dulu. Sedar tak sedar kita boleh je baca. Hasil ulang bacaan mak ayah kita sebelum tidur.


Zaman para sahabat dulu, tidak ramai yang boleh membaca. Majoriti ulamak berpandangan bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam tidak boleh membaca. Dan ia bukan suatu penghinaan. Kerana ia bagi menolak dakwaan orang kafir yang nabi belajar al-Quran dengan orang lain. Jadi dengan Nabi tidak boleh membaca, secara logik, dakwaan itu telah tertolak.

Sahabat Nabi sebahagian besar dari mereka tidak boleh membaca. Mereka terus simpan di dalam dada-dada mereka. Walau ketika itu, al-Quran yang ada bukan seperti sekarang ia ditulis atas kulit, atas tulang dan sebagainya. Tidak terkumpul seperti sekarang.

Jadi al-Quran tertulis di dalam dada-dada mereka dengan cara dengar dan terus hafaz dan juga ditulis di atas lembaran-lembaran oleh sahabat yang telah ditugaskan untuk menulis wahyu seperti 

TETAPI Bagaimana mereka yang buta huruf boleh membaca al-Quran?

Jawapannya, mereka mendengar dari Nabi atau dari sahabat yang telah mendengar dari Nabi dan terus dihafaz dalam hati mereka.

Baca al-Quran ini boleh sahaja samaada dengan melihat al-Quran ataupun tanpa lihat. 

Bolehkah kita buat begitu dengan anak-anak kita?

Boleh. Mulakan dulu dengan surah-surah pendek. Contoh Surah Al-Fatihah. Surah al-Ikhlas dan sebagainya.

Pepatah arab ada mengatakan, Belajar di waktu kecil bagai mengukir di atas batu. Belajar di waktu tua seperti menulis di atas air.



Imam Hafs