Friday, 13 December 2013

Testimoni Bekam

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi


TESTIMONI BEKAM

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt di atas nikmat yang dikurniakan kepada saya sekeluarga. Ketika saya menulis entry ini isteri saya sedang berehat. Penat dengan tugasan yang  perlu diselesaikan sebelum kami boleh pulang ke kampong.

Ketiika bertugas di Seremban pada bulan September yang lalu saya diperkenalkan dengan pengamal perubatan tradisional di Senawang. Sahabat saya Ustaz Hakimi Mohd Said  membawa saya serta Ustaz Izham  ke sana.

TIBBUN MUBARAK WELLNESS CENTRE yang bertempat di 9456  Bangunan Kedai Taman Guru Melayu, Senawang, Seremban  menyediakan perkhidmatan tidak kurang 7 jenis rawatan tradisional dan sunnah seperti bekam, urut, acupunture dan kiropraktik.

Keitka sesi rawatan, Ust Umai ada menyebutkan mengenai seorang pesakit migrain telah menjalani rawatan sebanyak dua kali dan dengan izin Allah swt pesakit tadi telah sembuh. Ketika saya mendengar pesakit migrain sembuh dengan kaedah bekam saya bercadang membawa  isteri saya untuk berbekam di situ.

Selain perawat lelaki terdapat juga perawat wanita di situ. Isteri saya memang biasa mengalami sakit kepala. Tidak boleh berpanas pasti sakit kepala datang menyerang. Disebabkan  isteri saya mengalami sakit kepada yang kerap, saya telah membuat temujanji untuk rawatan bekam di sana.

Setelah menerima rawatan pertama dua minggu yang lalu, isteri saya dapat merasakan perubahan yang positif. Saya juga perasan perubahan positif isteri saya. Kalau dulu dalam seminggu pasti sekali akan sakit kepala. Setakat saya tulis entry ini isteri saya hanya mengalami sakit kepala sekali sahaja. Selepas pergi ke pameran buku The Big Bad Wolf di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC) sakit kepala datang menyerang. Tetapi sekejap sahaja. Tidak perlu makan ubat lagi.

Perubahan yang positif ini menunjukkan bahawa rawatan sunnah ini benar memberi kesan yang baik. Kalau dulu perlu ambil pil untuk tahan sakit tapi setakat ini sudah tidak perlu. Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengatakan bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Selepas ini perlu meneruskan lagi rawatan  sunnah ini.


Tuesday, 10 December 2013

BIJAK HUKUM MIM SUKUN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Laptop

Hukum Mim Sukun atau Hukum Mim Mati terbahagi kepada 3 bahagian.


hukum mim mati


Contoh Hukum Mim Mati adalah seperti berikut :


hukum mim mati




Thursday, 5 December 2013

BERAKHIRNYA KEM TAHFIZ DAN PEMANTAPAN FARDHU AIN 2013

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : HP Lenovo

Kem Tahfiz Dan Pemantapan Fardhu Ain 2013

Kem Tahfiz Dan Pemantapan Fardhu Ain 2013


Alhamdulillah harini berakhirnya Kem Tahfiz & Pemantapan Fardhu Ain 2013 di Masjid al-Barokah Assam Jawa.

Sepanjang majlis penutupan ini ia diserikan dengan bacaan Surah Al-Waqiah dan Surah Al-Mulk oleh peserta kem yang terpilih. Dua orang terpilih untuk memperdengarkan bacaan. Kagum  melihat kegigihan beliau membaca. Walaupun bacaan tidak 100% tepat terutama dari sudut ikhfak dan sebagainya, namun dalam masa 2 minggu dapat menghafal Surah Al-Waqiah atau Surah Al-Mulk merupakan satu bonus dalam kehidupan.

Pendekatan dan kaedah penghafalan yang didedahkan dan kesungguhan yang hadir dari dalam diri pasti akan membuahkan hasil yang baik. Guru hanya boleh membimbing dan menunjukkan jalan namun empunya diri yang menentukan hasil yang diharapkan.

Selain itu suasana menghafal juga penting. Agak sukar jika menghafal secara sendirian tanpa bimbingan guru. Mungkin untuk menghabiskan hafalan mengambil masa yang agak panjang.

Begitu juga dalam usia yang muda merupakan usia yang sangat sesuai untuk menghafal. Bak pepatah arab mengatakan mengajar anak kecil seperti mengukir di atas batu. Sukar untuk hilang dan akan kekal lama di dalam hati.

Dua surah ini, antara dua surah yang dipilih kerana  kelebihan yang terkandung di dalamnya. Surah al-Waqiah menghindarkan kefakiran dan Surah al-Mulk pembela yang tak terkalah di alam kubur.
Tahniah kepada peserta-peserta yang hadir. Dalam masa dua minggu sedikit sebanyak memberikan kebaikan kepada kita semua insyaAllah. Berada di dalam Masjid dan berniat iktikaf pasti mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah swt.

Doa Dhuha juga dapat dihafaz dengan baik beserta dengan maknanya. Banyak kelebihan daripada doa ini.

Semoga program seperti ini ( KEM TAHFIZ DAN PEMANTAPAN FARDHU AIN ) dapat diteruskan. Kerjasama daripada mereka yang terlibat dalam menjayakan kem ini pasti mendapat rahmat daripada Allah swt.

Bagi mereka yang telah berjaya menghafaz teruskan usaha mengulanginya selalu. Al-Quran jika tidak diulang akan hilang dari hati. Alangkah indahnya hidup sebagai seorang Ahli Quran. Semoga kita semua tergolong di dalam golongan Ahli Quran. Amin.











ADAB MENUNTUT ILMU - ADAB MURID TERHADAP GURUNYA

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google



Alhamdulillah atas kurniaan nikmat Allah swt kepada kita. Semoga Allah swt menggolongkan kita dalam kalangan hambanya yang sentiasa bersyukur terhadap nikmat. Menjadi hamban yang sentiasa berterima kasih kepada Tuannya.

Alangkah indah suasana menuntut ilmu. Islam agama yang syumul dan sempurna terhiasi dengan adab-adab dan akhlak sesuai dengan tujuan Nabi Muhammad saw diutuskan.

Hadith yang popular yang biasa didengar oleh kita ialah



Akhlak dan adab di dalam menuntut ilmu memberikan keberkatan dan keredhaan daripada Allah swt. Antara adab yang digariskan yang dapat kita contohi dan amalkan adalah seperti yang telah dinukilkan oleh imam al-Ghazali

Adab Murid kepada Guru Oleh Imam al-Ghazali.

  1. Mendahulukan salam kepada guru dan bersalaman dengan bercium tangan sebagai tanda penghormatan. 
  2. Jangan banyak bercakap di hadapan guru.
  3. Jangan bercakap jikalau tidak ditanya.
  4. Jangan bertanya melainkan jikalau diarah oleh guru.
  5. Jangan menyangkal kata-kata guru.
  6. Jangan mengumpat pelajar lain.
  7. Jangan berbisik di hadapan guru.
  8. Jangan berpaling kiri dan kanan.
  9. Jangan menyoal semasa guru kepenatan.
  10. Berdiri ketika guru masuk dan keluar dari tempat belajar
  11. Dengar dengan khusyuk ilmu yang disampaikan walaupun diulang 1000 kali.
  12. Rujuk guru dalam memilih ilmu.
  13. Jangan duduk di tempat guru.
  14. Jangan berjalan di hadapan guru kecuali darurat.
  15. Jangan ketuk pintu berulang kali hingga guru keluar menemuinya.
  16. Sentiasa mendapatkan keredhaannya dan jauhkan kemurkaannya.
  17. Muliakan anak-anak guru.
  18. Selalu berhubung dengan guru.
  19. Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.
  20. Selalu mendoakan guru selepas setiap solat lima waktu


Semoga bermanfaat



Friday, 29 November 2013

KESALAHAN YANG BIASA DILAKUKAN KETIKA MEMBACA ALQURAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google



Antara perkara yang dapat dikesan ketika mendengar bacaan peserta-peserta kem sebelum ini. Begitu juga daripada peserta Kem Tahsin Al-Quran. Antara kesalahan yang mudah dilakukan ialah :

Pertama - kesalahan memanjangkan kadar harakat kepada dua harakat. contohnya َاَلَمْ تَرَ كَيْف. Pada huruf ر berlaku kesalahan memanjangkan harakat menjadi dua harakat. Bacaan yang perlu dibaca adalah dengan kadar satu harakat sahaja. 

Kedua -  kesalahan meninggalkan bacaan dengung. Contohnya pada ّان. Pada huruf  ّن perlu dibaca dengan dengung dengan kadar dua harakat. Begitu juga pada huruf مّ. Bacaan perlu didengungkan dengan kadar dua harakat.

Ketiga - kesalahan tidak memanjangkan bacaan pada mad jaiz dan mad wajib. Kesalahan yang dilakukan adalah membaca dengan kadar dua harakat sahaja. Bacaan yang sempurna adalah  perlu dibaca dengan kadar 4 atau 5 harakat. Jika dibaca 4 harakat maka semua perlu dibaca dengan kadar 4 harakat.

Selain daripada itu tidak membaca dengan kadar harakat yang konsisten. Bacaan yang terbaik ialah membaca dengan kadar harakat yang sama. Jika membaca mad jaiz dengan kadar 4 harakat. Maka jika bertmu dengan mad jaiz perlu dibaca sama dengan kadar 4 harakat. Jika membaca dengan kadar 5 harakat maka perlu membaca dengan kadar 5 harakat. Begitu juga dengan mad wajib.

Bagi mad lazim perlu dibaca dengan kadar 6 harakat. Terutama di dalam Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan kadar 6 harakat. 

Keempat - Kesalahan makhraj  huruf terutama makhraj huruf ث ذ ظ.

Kelima - Kesalahan tidak mendengungkan dengan kadar dua harakat. Hukum ikhfaq, idgham dan wajibul ghunnah antara contoh kesalahan yang biasa dilakukan.

Wednesday, 27 November 2013

PELBAGAI KAEDAH MEMPELAJARI AL-QURAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi



Gambar : Google


Pengajian al-Quran berlaku sepanjang zaman. Situasi, cara, pengalaman berbeza pada setiap orang. Pada sepuluh hingga lima belas tahun dahulu, kita sudah terbiasa dengan belajar di rumah-rumah Ustaz atau Ustazah.

Lepas Maghrib sambil menjunjung al-Quran berjalan bersama kawan-kawan menuju ke rumah Ustazah. Kemudian duduk ditepi dinding menunggu giliran untuk membaca. Taknik belajar al-Quran yang diguna pakai ketika itu adalah menggunakan Muqaddam. Teknik al-Baghdadi. 

Menggunakan sistem ejaan alif diatas a alif dibawah i alif didepan u. Aa ii uu. Bila habis satu subtopik membaca wau alif lam sim sabdu di atas was, sin di atas sa, lam alif di atas laa, mim depan mu, wassalamu.

Taknik ini agak memakan masa tetapi ia memberi kesan yang sangat baik. Dari segi pengenalan huruf, sehingga sesiapa yang menguasai Muqaddam tidak sukar untuk membaca Jawi. 

Abu Mansor Hafzul Fikri Al-Baghdadi pada tahun 376 Hijrah. Beliaulah yang telah memperkenalkan kaedah ini. Kaedah ini  memperkenalkan huruf secara analisa berperingkat-peringkat secara latih tubi dan pengulangan. Kaedah ini telah tersebar dan berkembang keseluruh rantau  dunia hingga ke saat ini. Ia telah menjangkau 1049 tahun. Alangkah beruntungnya beliau mempunyai saham yang berterusan.

Oleh sebab yang sama ramai daripada kalangan Ulama mengasaskan teknik-teknik bagi membantu orang Islam dalam menguasai pembacaan al-Quran. Kaedah-kaedah seperti Al-baghdadi, Qiraati, Iqra ( yang diguna pakai di Kementerian Pendidikan Malaysia ), al-Baghdadi ( Teknik terbaru dengan inovasi alat ketukannya ) adalah untuk meraih pahala yang berterusan daripada Allah swt.

Walau apapun teknik yang digunakan atau diasaskan hala tujunya tetap sama, iaitu orang yang mengaplikasikan teknik tersebut  dapat  menguasai pembacaan al-Quran. Hanya terdapat dari segi perbezaan waktu berdasarkan qaedah penmbelajaran al-Quran digunakan.

Kalaulah di sekolah menggunakan teknik Iqra, di rumah menggunakan Qaedah Baghdadiyah ia tetap memberikan impak yang positif di dalam mempelajari al-Quran. Merupakan tambah nilai yang baik mempelajari al-Quran menggunakan kaedah yang pelbagai.



Tuesday, 19 November 2013

Mad Lazim

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


bijak tajwid mad



Mad Lazim






Mad lazim berlaku apabila selepas huruf mad terdapat huruf yang bertanda sukun asli.

Dinamakan mad lazim kerana semua ulamak qurra bersepakat ia lazim dibaca dengan kadar 6 harakah maka ia dinamakan mad lazim.

Mad lazim terbahagi kepada dua. Pertama  dalam bentuk huruf. Kedua dalam bentuk kalimah.
dalam bentuk huruf ia terletak di 29 surah di dalam alquran. contohnya الم .   Mad lazim juga berlaku di dalam kalimah contohnya kalimah الضالين .

Perhatian!  Mad lazim harfi dan mad lazim kalimi terbahagi kepada dua. Menjadikan mad lazim mempunyai empat bentuk yang perlu diambil perhatian agar dapat dibezakan.

PEMBAHAGIAN MAD LAZIM






MAD LAZIM YANG BERADA DI DALAM KALIMAH


Pada gambarajah di atas dapat dilihat dengan jelas pembahagian mad lazim. Jika diperhatikan pada mad lazim harfi, yang berlaku pada huruf-huruf "secret letter" di awal 29 surah, mungkin tertanya-tanya bagaimana cara untuk membezakan antara mukhaffaf dan muthaqqal.

Begitu juga bila melihat contoh pada mad lazim kalimi bagaimana pula hendak membezakan antara mad lazim kalimi mukhaffaf dan mad lazim kalimi muthaqqal.

Perlu diketahui bahawa yang membezakan antara mukhaffaf dan muthaqqal adalah tanda sukun dan tanda sabdu. Tanda sukun menunjukkan ia mukhaffaf(ringan) manakala tanda sabdu menunjukkan ia muthaqqal (berat).

Contoh pada kalimah

Selepas huruf mad terdapat huruf sukun asli. Asal huruf لّ (bersabdu) terdidir daripada 2 huruf ل iaitu لْ لِ. Lam pertama bertanda sukun dan lam kedua berbaris bawah. Lam pertama diidghamkan kedalam lam yang kedua menjadikannya satu huruf yang bersabdu. Ia dinamakan mad lazim kalimi muthaqqal.

mad - bermaksud panjang
lazim - sepakat ulamak melazimkan bacaan 6 harakat
kalimi - berlaku dalam kalimah
muthaqqal (berat)- selepas huruf mad ada tanda sabdu


Sekiranya mad lazim  berlaku dalam kalimah yang tidak mempunyai tanda sabdu selepasnya seperti contoh pada kalimah

ia dinamakan mad lazim kalimi mukhaffaf.

mad - bermaksud panjang
lazim - lazim - sepakat ulamak melazimkan bacaan 6 harakat
kalimi - berlaku dalam kalimah
mukhaffaf (ringan)-  selepas huruf mad tiada sabdu


MAD LAZIM YANG BERADA DI DALAM HURUF


Pada gambarajah di atas juga boleh dilihat pada kalimah 
LAM DIMERAHKAN
MIM DIMERAHKAN
            

Dalam gambarajah yang pertama pada kalimah yang sama  huruf lam dimerahkan dan pada gambar berikutnya huruf mim dimerahkan. Untuk membezakan hukum samaada mad lazim harfi mukhaffaf atau mad lazim harfi muthaqqal proses pengejaan huruf perlu dilakukan.


Lihat ejaan huruf tersebut. Alif Lam Mim. Pada huruf لام ( huruf م) bertemu dengan huruf mim (مّيم) menjadikannya bersabdu disebabkan idgham mithlain. Di sini huruf لام dinamakan mad lazim harfi muthaqqal kerana bertemu dengan huruf (مّيم).

mad - bermaksud panjang
lazim - lazim - sepakat ulamak melazimkan bacaan 6 harakat
harfi - berlaku dalam huruf
muthaqqal (berat)-  selepas huruf mad terdapat sabdu

Lihat ejaan huruf Mim. Pada huruf ميم  ( huruf م) tidak terdapat sabdu selepasnya. Ia dinamakan mad lazim kalimi mukhaffaf

mad - bermaksud panjang
lazim - lazim - sepakat ulamak melazimkan bacaan 6 harakat
harfi - berlaku dalam huruf
mukhaffaf (ringan )-  selepas huruf mad tidak terdapat sabdu.





Monday, 4 November 2013

INSPIRED STORY

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google





بسم الله الرحمن الرحيم


Tahun 2009 merupakan tahun kedua saya menjadi guru. Bukan mudah untuk menjadi guru yang berkualiti. Oleh sebab itu kursus demi kursus diadakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru. Pentingnya pengisian terutamanya yang melibatkan motivasi adalah baik bagi mengekalkan momentum yang positif.

Brian Tracy di dalam bukunya NO EXCUSES! pernah menceritakan perihal seorang lelaki yang hadir ke seminar beliau ketika di Seattle.  Lelaki tersebut datang bertemu berhadapan dengan beliau dan mengatakan, "apabila tuan menggalakkan kami untuk membeli CD Audio kepunyaan tuan, sepatutnya tuan memberitahu kami mengenai semua perkara yang sebenarnya." jawab Brian Tracy dengan persoalan "Apa yang tuan maksudkan.?"

Lelaki tersebut memberitahu beliau bahawa beberapa tahun sebelum itu dia pernah menghadiri seminar yang Brian Tracy anjurkan. Dia telah mengaplikasikan setiap tips dan nasihat yang diberikan sambil membeli CD audio beliau. Lelaki tersebut berjaya menjadi jurujual terbaik di syarikatnya. 

Selepas itu lelaki tersebut mengatakan pendapatannya tidak bertambah. Brian Tracy bertanya kepada lelaki tersebut apa yang dia lakukann dalam masa dua tahun pendapatan tidak bertambah. Lelaki tersebut terkejut dan mengatakan bahawa dia berhenti daripada membaca buku dan mendengar motivasi dan tidak hadir seminar.

Begitulah benarnya sabdaan Nabi saw yang mengatakan bahawa manusia yang tidak mendengar tazkirah atau peringatan melebihi tiga hari akan keras hatinya. Al-Quran juga menekankan bahawa berilah peringatan kerana peringatan itu memberi manfaat kepada orang beriman.

Jadi pada tahun 2009 ketika menghaadiri saatu kursus terdapat seorang pembentang yang menayangkan satu video di akhir pembentangan beliau. Pertama kali melihat video tersebut benar-benar memberi suntikan inspirasi dalam jiwa saya. Sangat hebat.









Sekiranya anda ingin mendapatkan inspirasi untuk memulakan bisnes atau bekerja dari rumah  anda boleh sertai http://akademibekerjadirumah.blogspot.com/ . 


TEKNIK MENAJAMKAN FIKIRAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google




بسم الله الرحمن الرحيم


Teknik menajamkan otak manusia sentiasa dikaji oleh Doktor Pakar seluruh dunia. Otak manusia dipercayai dapat dipertingkatkan keupayaannya melalui beberapa cara. Melalui beberapa kajian yang dijalankan beberapa jenis makanan  boleh meningkatkan ketajaman fikiran.

Dr Daniel Amen's contohnya telah membuat artikel mengenai pengambilan nutrisi yang dapat mempertingkatkan keupayaan otak manusia di sini http://abt.cm/1759C34 .

Selain itu senaman juga dipercayai dapat mempertingkatkan ketajaman otak manusia. Agak mengejutkan, apabila "senaman" yang diberikan oleh guru kepada murid yang tidak menyiapkan kerja rumah sebenarnya meningkatkan keupayaan otak manusia.

Ketuk ketampi merupakan senaman yang cukup "glamour" ketika di zaman sekolah dahulu. Senaman yang biasa diberikan oleh guru selain rotan sebagai peringatan kepada murid agar menyiapkan tugasan yang diberikan.


Menurut Dr. Eric B. Robins, M.D dalam artikel beliau Hope for ADD, ADHD, Autism & Alzheimer’s! menunjukkan kajian yang dijalankan kepada sebuah keluarga mendapati senaman " ketuk ketampi " ini telah memberikan perubahan yang agak mengejutkan.

Jadi kemungkinan orang dahulu bijak walaupun tidak cukup nutrisi mungkin kerana faktor "senaman" yang selalu dibuat di sekolah ataupun di rumah. 

Apakah rahsia Imam Syafie dalam menajamkan ingatan beliau? Beliau mampu menghafal al-Quran ketika berumur 9 tahun dan setahun selepas itu menghafal Kitab Muatta' karangan Imam Malik. 

Sudah pasti ramai yang telah mendengar kisah Imam Syafie mengadu kepada guru beliau  Waki’ mengenai hafalannya yang buruk. Katanya:

شَكَوْتُ إِلىَ وَكِيْعٍ عَنْ سُوْءِ حِفْظِى     فَأَرْشَدَنِيْ إِلىَ تَرْكِ الْمَعَاصِى
فَإِنَّ عِلْمَ اللهِ نُوْرٌ                       وَنُوْرُ اللهِ لاَ يُهْدَى لِعَاصٍ

Aku mengadu kepada Waki tentang buruknya hafalanku
Maka Waki menasihatiku untuk meninggalkan maksiat

Karena ilmu Allah itu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat

Kesimpulannya ketajaman fikiran manusia dapat dipertingkatkan melalui pemakanan, senaman dan juga amalan sebagaimana yang diamalkan oleh ulamak dan kajian daripada mereka yang pakar.

Sunday, 3 November 2013

HUKUM NUN MATI DAN TANWIN ( IQLAB )

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google



بسم الله الرحمن الرحيم

Hukum yang seterusnya yang berkaitan dengan nun mati dan tanwin adalah Iqlab. Hurufnya ada satu sahaja iaitu ب. Apabila huruf nun yang bertanda sukun atau tanwin datang selepasnya huruf ب maka Iqlab akan.berlaku.

PENGERTIAN IQLAB


DARI SEGI BAHASA : ia bermaksud menukar sesuatu daripada rupa asalnya.


DARI SEGI ISTILAH : menukarkan bunyi huruf nun sakinah atau tanwin kepada bunyi huruf mim yang ringan dengan ikhfak dan dengung.


HURUF :  terdapat satu huruf sahaja iaitu huruf      ب


Contoh Iqlab adalah seperti berikut :


              Dalam satu kalimah :

         

              Dalam dua kalimah :

           



Ketika membaca kalimah ini seperti  menukarkan huruf nun sakinah ataupun tanwin  kepada huruf mim seperti berikut :





NOTA

Teknik bacaan Iqlab ini dinamakan Ikhfa' Majazi. Berbeza dengan hukum Ikhfak Hakiki. Ketika bacaan Iqlab huruf nun sukun atau tanwin dibaca dengan bunyi  Huruf Mim. Tetapi bacaan bukan dibaca secara merapatkan bibir. Bibir terbuka sedikit.  Dinamakan dengan Iqlab kerana bunyi nun atau tanwin ditukar kepada bunyi mim. Di dalam tulisan Resm Othmani  hukum Iqlab ini ditandakan dengan mim yang kecil. Terdapat Mushaf yang mewarnakan huruf mim kecil itu dengan warna hijau. Hijau memberi makna bacaan tersebut perlu didengungkan.

                   



Wednesday, 30 October 2013

MELAGUKAN BACAAN AL-QURAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم


               Al-Quran yang diturunkan kepada manusia merupakan kitab yang istimewa. Mententeramkan jiwa. Menjentik hati-hati. Sejarah melakarkan ramai yang memeluk Islam selepas mendengar beberapa ayat daripada Al-Quran. Saidina Omar Radiallahu Anhu. Antara insan yang dilembutkan hati selepas mendengar surah Toha. Ada yang jatuh hati dan terpaku hanya mendengar ayat al-Quran yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan.
           
               Tejasen, seorang profesor daripada Thailand yang mempunyai kepakaran dalam bidang kulit menemukan ayat yang menakjubkan.

”Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak akan Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (QS. An-Nisa: 56)

              Persoalan.Adakah perlu melagukan ayat al-Quran ketika membacanya? Terdapat di dalam Sunan An-Nasa’i dan Ad-Darimi serta Al-Mustadrak Al-Hakim dari Barra’ Radhiyallaahu ‘anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

(حَسِّنُوْا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ فَإِنَّ الصَّوْتَ الْحَسَنَ يَزِيْدُ الْقُرْآنَ حُسْنًا)
“Baguskanlah Al-Qur’an dengan suaramu, karena suara yang bagus menambah keindahan Al-Qur’an.


           Al-Quran itu indah dan bertambah indah dengan bacaan suara yang bagus. Memperindahkan pembaca yang membacanya.

Dalam Sunan Abi Daud dari Abu Lubabah Radhiyallaahu ‘anhu bahwa Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
( لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ )
“Bukan dari golongan kami orang yang tidak melagukan Al-Qur’an.”

An-Nawawi mengisahkan dari Jumhurul Ulama bahawa makna “lam yataghanna” adalah yang tidak membaguskan suaranya ketika membaca Al-Qur’an.
                 
             

Sunday, 27 October 2013

KESALAHAN TERTUKAR HURUF

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم





           Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan budaya. Kepelbagaian kaum yang terdapat di Malaysia ini merupakan sesuatu yang unik dan dikagumi oleh negara luar. Bahkan kita juga pasti kagum dengan kehebatan orang Negeri Sembilan yang mampu makan lada seperti ulam. 

       Perbezaan bahasa juga adalah satu kekayaan kepada negara kita. Pahang sendiri mempunyai loghat yang berbeza. Mengikut aliran Sungai Pahang kata orang tua-tua. Perbezaan loghat ini juga berlaku di dalam Bahasa Arab. 

      Berimamkan Imam Arab Mesir yang terkesan dengan  loghat bahasa mereka kadangkala menjentik hati kami. Huruf jim dalam bahasa pasar Arab Mesir ditukar kepada ga. Apabila mendengar bacaan اذا جاء tertukar huruf jim kepada ga memberikan kesedaran bahawa arab juga mempunyai masalah sebutan huruf.

     Pada entry kali ini ingin saya kongsi kesalahan yang berlaku dalam surah alfil. Ini kerana surah alfil merupakan antara pilihan bacaan imam di dalam solat. Perlu berhati-hati ketika menyebut huruf ta di dalam kalimah 
yang bergaris di dalam ayat dua di atas. Kebiasaan yang tidak perasan ialah membaca huruf ta dengan huruf to. Daripada tadhlil menjadi todlil. Di dalam al-Quran terdapat banyak kalimah yang boleh berlaku kesalahan sebutan huruf seperti dalam kalimah tersebut. Salah satu teknik untuk selamat daripada kesalahan berikut ialah membaca di hadapan guru yang mahir. 



Wednesday, 23 October 2013

ULASAN KELAS BLOG PUAN MASAYU AHMAD

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


              Adat orang yang tidak tahu mestilah perlu berguru. Guru yang  mempunyai kemahiran merupakan satu nilai tambah  bagi seseorang pelajar. Setelah beberapa bulan berguru dengan Puan Masayu Ahmad dalam pembinaan blog akhirnya blog rasmi saya lahir. Mendapat bimbingan secara berterusan walaupun tidak pernah bertemu secara berhadapan.
   
              Medium yang ada pada hari ini seperti internet dan facebook membolehkan kaedah belajar jarak jauh terlaksana dengan baik. Walaupun boleh belajar daripada sifu-sifu youtube tetapi belajar daripada kak MasAyu Ahmad juga menarik.

            Secara keseluruhanya 95% anak murid Puan MasAyu Ahmad adalah wanita. Mungkin tuah saya diterima sebagai murid walaupun saya adalah seorang Adam dan bukan Hawa. Namun begiu melalui kelas asas penulisan blog ini, barulah saya dapat tahu kepentingan penjenamaan nama sebelum menggunakan blog dan sebagainya. Selain itu sedikit sebanyak melalui kelas ini, telah mendorong saya lebih yakin untuk menulis walaupun saya bukan seorang penulis dan buka pelajar sastera Bahasa Melayu tika di bangku sekolah dahulu.

        Adat belajar perlu berguru adalah istilah yang sangat penting agar tidak tersasar. Jika tersasar sudah pasti diulam dengan teguran daripada guru. Permata yang ditabur ketika miskin idea sangat bernilai. Semoga kelas ini berterusan kerana pada pandangan saya yang daif ini ia telah dapat membantu ramai ibu-ibu di luar sana. Dunia yang berbeza ketika ini memberi peluang dan ruang kepada mereka yang bergelar suri rumah sepenuh masa untuk berjaya melalui penulisan blog.

   Terima kasih kepada Puan Masayu Ahmad atas kelas asas yang memberi input yang baik pada diri saya. Semoga kelas ini berterusan memberikan impak positif kepada masyarakat.

       

                         

MEMINTA-MINTA TETAPI TIDAK TAHU APA YANG DIPINTA

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi


بسم الله الرحمن الرحيم



           Memang indah hidup sebagai seorang Muslim. Kita mempunyai kelebihan terutama ketika kita berada di dalam kesusahan. Kita mempunyai Allah untuk meminta agar segala yang diharapkan dapat kita capai. Mohon untuk rezeki, jodoh, kejayaan kesihatan dan segalanya. Sehinggalah dalam keadaann perang seperti firman Allah swt.


Ÿ
      Dalam ayat di atas Allah swt memberikan jaminan dan ketenteraman kepada Muslim agar tidak berputus asa kerana Allah swt tempat mengadu dan meminta.      

Ketika kecil kita diajar bagaimana berdoa untuk menerangkan hati agar mudah mendapat ilmu. Berdoa memohon keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Terkadang doa yang kita baca tidak lebih hanya sekadar doa bahasa arab tanpa difahami maksud dan erti sebenarnya. Terkadang salah sebutan sehingga berubah sedikit maknanya.

    Suatu  ketika penulis membaca buku yang menarik karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil iaitu RINDU BAU POHON TIN. Terbaca mengenai pengalaman beliau ketika tawaf terdengar doa daripada satu jemaah haji. Doa yang dipanjatkan kehadrat Allah swt dalam Bahasa Arab terdapat kesalahan yang membawa makna " Ya Allah keluarkan kami daripada kegelapan kepada Neraka ". Semoga kita diselamatkan Allah swt daripada azabnya.

    Berdoa di dalam bahasa yang difahaminya dengan  hati  lebih baik daripada meminta tanpa faham. Memohon kepada Allah swt  raja segala bangsa dan bahasa tidak menyebabkan doa tertolak hanya kerana berdoa dalam bahasa selain bahasa Arab.

Kesimpulannnya doa yang dipohon dengan mengikut adab dan bersabar maka kita tidak akan kecewa.


     

Tuesday, 8 October 2013

MENCARI TITIK PERTEMUAN

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi



بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

        Sewaktu mendengar ceramah Ustaz Abdullah Khairi yang mengetuai Jemaah Haji memang menyentuh hati saya. Menceritakan mengenai sepasang suami isteri yang mengerjakaan haji.

         Usia perkahwinan saya bersama isteri tersayang sudah masuk tahun yang keenam. Saya fikir sudah sampai masanya untuk mencari satu lagi titik pertemuan antara kami. Walaupun dalam banyak perkara kami berkongsi minat yang sama. Menambah hobi yang boleh dikongsi bersama. Kebetulan saya terlihat Bengkel Khat Diwani Anjuran Jabatan Warisan Negara  dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan di status seorang pengamal Khat.

       Mengambil keputusan untuk membawa isteri sekali untuk pergi mengikuti bengkel tersebut. Semoga ini juga merupakan titik pertemuan antara kami. Jumlah yang hadir memang ramai. Jangkaan seratus menjaadi dua ratus. Urusetia memang bagus Bersedia melayan keperluan peserta dengan baik. Saya bagi markah penuh. Makanan pun sedap dan cukup.

      Kursus yang agak santai dan kami seronok sebab mampu sedikit sebanyak mengambil ilmu daripada pakar khat daripada Persatuan Seni Khat Kebangsaan. Kebetulan salah seorang dari mereka merupakan sahabat yang sama tempat belajar ketika di Mesir dahulu.


      Apa yang lebih menarik ialah ada pertandingan menulis kalimah basmalah. Saya akur dan sedar tulisan saya belum berseni. Dua puluh hadiah telah disediakan dan akhirnya nama kami antara nama yang tidak dipanggil sebagai pemenang.  Tapi tidak mengapa, sebab ini merupakan titik pertemuan kami yang baru.

    Sebelum pulang kami sempat menghadiahkan nama bertulisan Khat Diwani kepada diri kami sendiri. Begitu juga diabadikan nama anak-anak kami hasil karya Mohammed Maimun bin Abdurrahman.

   



Tuesday, 1 October 2013

KERANA 4 RINGGIT

Teks : Firdaos Bin Mohd Rawi
Gambar : Google


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

                 Pagi ni hantar anak ke Alim Kid. Memang seminggu sekali sahaja kami hantar anak kami ke sana. Pada mulanya saya ingin menceritakan mengenai budaya arab. Tetapi saya perlu berkongsi apa yang berlaku usai saya menghantar anak saya ke Alim Kid.

                   Selepas menghantar anak, saya  pergi ke sebuah restoran. Sebelum ini saya pernah datang ke Restoran tersebut. Harini saya makan lagi di situ. Nescafe tarik dan Roti Arab. Sesudah selesai makan baru saya sedar saya bawak duit besar. Saya beritahu pada akak tu, "maaf kak saya bawa duit besar," sambil menunjukkan  duit RM50.00 . Akak tu tenang dan  memeriksa laci wang. Dia cakap,  "sekejap dik akak tukarkan duit dulu dengan bos." 

                    Bosnya tiada. "Adik, akak takde duit pecah dik. Takpe adik bayar lain kali sahaja ok?"
"Saya tinggal jauh dari sini, kak."  Dengan wajah tenang tanpa marah dan dengan ikhlas dia berkata, "Takpe kalau tak sempat datang pun akak halalkan."

                   Dalam hati saya terucap, "Hebat betul aka ni. Dari luaran nampak biasa tetapi dalaman luar biasa!" Masa tu jugak saya teringat duit syiling dalam kereta dan bertanya padanya, "Akak terima duit syiling?" "Terima dik", jawabnya ringkas.

                   Saya pergi ke kereta dan mengenggam duit syiling dan kira di hadapan akak tersebut. Rasa macam tak cukup. Saya kira dihadapan akak yang baik hati tersebut, " Seposen dua posen tiga posen." Alhamdulillah cukup. "Terima kasih kak. Maaf tak bawak duit kecil." akak tu menjawab, "akak pun minta maaf ye dik." Kesimpulannya pada hari ini saya beruntung bertemu dengan orang yang hebat dalaman kerana empat ringgit.

                Nampak biasa, tetapi kaya jiwa. Dia hanya pekerja, dan kalaulah saya tidak bayar mungkin dia pula yang akan keluarkan duit poketnya untun bayar secawan Nescafe dan sekeping roti arab yang best tu. Alhamdulillah.

Gambar Hiasan
   Pesan ulamak, jangan memandang amalan yang kecil itu kecil kerana mungkin sahaja ia menjadi penyebab seseorang masuk ke dalam syurga. Mungkin sahaja nilai empat ringgit itu kecil, tetapi tidak kecil jika ia menjadi penyebab masuk ke dalam syurga Allah s.w.t

    Seperti kisah perempuan pelacur bersepatu dengan anjing.

Akan saya abadikan gambar yang sempat saya snap di sini. Kalau anda lalu bolehlah singgah untuk bersua muka dengan insan hebat ini. Semoga kita memperolehi jiwa dan hati yang positif sepertinya.

Semoga sentiasa berjumpa dengan insan hebat dalaman lagi.




Gambar Hiasan


sekian.

 

Friday, 27 September 2013

PAKCIK YANG HEBAT

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



             Minggu ini kerja luar kawasan. Setelah selesai kerja pada hari ini, sempat saya sampai di Masjid Puchong ini. Masjid terbaik Negeri Selangor (2011) bagi kategori Kariah. Sempat sampai untuk mendengar Khutbah Jumaat.

             Selepas sahaja solat, saya keluar dan 'melawat' kawasan. Memang macam karnival. Saya tak bawak hp untuk snap gambar. Macam biasa di Masjid lain, ada jual minyak wangi, baju, makanan dan sebagainya. Cuma di sini lebih meriah sebab ramai jemaah.

           Yang menarik perhatian saya adalah segerombolan manusia melingkari seorang pakcik. Sambil bercakap diselangi dengan air masak dia bercerita mengenai kehebatan hati unta. Kalau ada mak di rumah kena kencing manis yang kronik jangan potong. Boleh cuba produk ini. 

          Apa yang menarik perhatian saya? Biasa saya dah balik dah.Sebab pakcik tu bawa benda yang maujud untuk menerangkan fungsi produk tersebut. Segelas cawan yang berisi air. Air kopi pekat dan dua keping roti.

         Dicurah kopi pada air dan roti. Apa yang berlaku pada roti tersebut? Betul, roti itu menjadi hitam. Air di dalam gelas juga bertukar menjadi hitam. Roti diibarat seperti perut kita. Begitu juga air dalam gelas diibaratkan seperti tubuh badan kita.

        Kemudian diambil rokok. Dibakar dan dihisap lalu dihembus kepada sehelai kertas putih. Tempat yang dihembus terlekat warna kuning daripada asap. Kertas putih ibarat paru-paru manusia. Tanya pakcik tu dengan penuh semangat, "Macaman nak hilangkan kesan-kesan hitam ini tuan-tuan?. Adakah dengan menggunakan pencuci 2 dalam 1? 3 dalam 1? Untuk kita hilangkan kesan hitam pada roti, air dan kertas ini?"
Semua diam termasuklah saya.

      Dengan tenang pakcik itu memberitahu," tenang tuan-tuan. Saya boleh buat demonstrasi pada hari ini. Dikeluarkan sebiji botol mengandungi 7 biji kapsul. Sempat saya kira. Pakcik itu menarik pil tu nak menunjukkan yang pil itu asli. Kemudian dikeluarkan sedikit cecair dari dalam pil dan dimasukkan kedalam air. 
     Dia kata kalau tenggelam ia asli. Cecair memang tenggelam. Lalu dikacau air tersebut dan dituang ke atas roti yang telah menjadi hitam. Berubah roti yang hitam itu menjadi coklat. Jadi bahan dari pil tersebut memutihkan roti. 

   Yang mendengar ketika itu ramai lebih kurang 20 orang ketika itu. Dan yang membeli ubat dia ramai jugak dalam 5 hingga 7 orang. Apa yang pasti ramai yang beli. Tahniah pakcik.Cuma saya dapat melihat keletihan dia selepas penerangan yang agak panjang sebelum dapat menjual ubat tersebut.

    Saya yakin esok pakcik tersebut akan buat perkara yang sama. Menerangkan lagi produknya. Terfikir saya ketika itu kalau pakcik tersebut boleh meniaga online, mungkin tak perlu bercakap banyak. Jadi bagi anda yang ingin belajar cara untuk bisnes online, anda perlu memperkenalkan diri anda melalui blog.

Kelas blog ini merupakan kedai online kelolaan Puan Masayu Ahmad. Mudah dan fleksibal. Tidak perlu keluar duit untuk tambang ke kelas. Ia berlaku secara santai. Percayalah ia amat berkesan. Untuk pendaftaran boleh inform kepada Puan Masayu Ahmad.




Wednesday, 25 September 2013

NASIHAT SEORANG KAFIR


TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.




         Seorang pekerja Produa menceritakan kisah ini sekitar tahun 2007. Ketika membawa seorang bos dari Jepun atas urusan bisnes, beliau bersama seorang rakannya terpaksa bergegas ke Masjid untuk solat.

          Solat Jumaat memang ramai jemaah datang. Jadi sebelum pergi, rakan kepada pekerja Produa tersebut berkata kepada orang Jepun tersebut, "sir you don't worry, we wont take much time to pray. Just wait here for a moment." Jawapan orang Jepun tersebut, " not good, not good. You should spent more time with your god. You ask your god something so you should spent time more."

Terkedu dan  tersentak serta tidak terkata. Memang betul apa yang dikatakan oleh orang Jepun tersebut. Meminta kepada seseorang sahaja perlu berdepan memujuk dan sebagainya. Lebih terkejut mendengar respon dari Ninja yang asal daripada bumi penyembah matahari tersebut.

Ciri mukmin yang sejati adalah yang mampu bersabar menghabiskan masa untuk tuhannya dengan berzikir dan sebagainya.

MESYUARAT

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


       Rasulullah saw merupakan manusia yang sangat hebat. Baginda adalah seorang ayah, suami, pemimpin, yang mempunyai kebijaksanaan yang tidak terlawan. Walaupun begitu, dengan kepandaian dan kesempurnaan yang dimiliki, baginda sentiasa berbincang. Sentiasa bermesyuarat dalam perkara yang  yang penting. Keputusan yang dibuat bersama diambil kira.

Lihat dalam Peperangan Uhud. Sahabat daripada kalangan muda cenderung untuk bertempur di luar Madinah. Ketika itu sahabat dari kalangan tua bercadang bertahan di Madinah sahaja. Begitu juga Rasulullah saw berpandangan agar berada di Madinah. Selepas undian diadakan, ramai yang mengundi untuk keluar berperang ke Uhud.

Selepas itu sahabat melihat Rasulullah saw telah bersedia dengan memakai baju kelengkapan untuk pergi berperang. Walaupun Rasulullah saw lebih bersetuju untuk berperang di Madinah sahaja tetapi atas keputusan mesyuarat, baginda akur.

Rasulullah saw sebagaimana biasa mengarahkan kepada tentera dengan pembahagian tugasan masing-masing. Antaranya ialah pasukan pemanah yang perlu menjaga di atas Gunung Uhud. Mereka perlu berada di atas Uhud walau apapun yang terjadi. Tidak boleh berganjak daripada Uhud.

Ketika peperangan berlangsung pasukan pemanah tadi telah terlupa akan arahan supaya bertahan di Gunung Uhud. Mereka turun. Melihat keadaan itu Khalid Al-Walid pada ketika itu belum lagi memeluk Islam berjaya menawan uhud. Keadaan menjadi kelam kabut.  

Ramai sahabat syahid pada peperangan tersebut. Antaranya ialah bapa saudara nabi sendiri iaitu Hamzah r.a yang digelar Singa Allah swt. Rasulullah swt juga cedera dan mengalir darah suci baginda. Apa yang berlaku selepas itu?

Allah swt telah berfirman di dalam al-Quran 





159. Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.


[246] Maksudnya: urusan peperangan dan hal-hal duniawiyah lainnya, seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lainnya.


Allah swt memberi arahan agar Rasulullah saw bermesyuarat lagi dengan para sahabat. Untuk mencari keputusan dengan perbincangan. Selepas membuat keputusan, maka bertaqwalah kepada Allah swt.Pentingnya mesyuarat di dalam perkara-perkara penting dilakukan. Keputusan mesyuarat diambil kira walaupun mempunyai kuasa membuat perubahan. Ini adalah ciri-ciri mesyuarat yang dikendali oleh Rasulullah saw. Insan agung yang sangat hebat.

Kelebihan Mempelajari Al-quran