Tuesday, 21 January 2014

Pertama Kali Menjejakkan Kaki Ke Bumi Ambiya'

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : Google

Pertama Kali Menjejakkan Kaki Ke Bumi Ambiyak


بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Seingat saya sudah sembilan tahun berlalu sejak kali pertama menjejakkan kaki ke bumi ambiyak. Walaupun ketika hajat hendak pergi terdapat beberapa perkara yang agak menghalang tetapi kehendak Allah swt mengatasi segala-galanya.

Ketika saya menulis tentang ini, bayangan perjalanan pertama kali ketika bersiap sedia untuk berangkat masih jelas kelihatan. Masih boleh mengingati saat hendak meninggalkan ibu dan ayah serta keluarga hanya untuk meneruskan perjuangan menimba ilmu di bumi ambiyak.

Kursus Intensif Bahasa Arab di bawah program Yayasan Pahang selama lebih kurang 6 bulan banyak membantu dari segi persediaan sebelum berangkat ke bumi ambiyak.

Perasaan bercampur baur antara sedih ingin meninggalkan ibu dan ayah dan perasaan keterujaan untuk menjejakkan kaki ke bumi ambiyak membuatkan titisan air mata mengalir ketika itu.

Perjalanan yang mengambil masa selama 20 jam lebih kurang memberikan pengalaman yang sangat hebat. Melihat rakan-rakan ketika di KLIA berpisah daripada keluarga dengan tujuan yang sama memberi keyakinan bahawa mereka berkongsi perasaan yang sama.

Kami menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan Emirates yang tidak terus terbang daripada KLIA menuju ke Kaherah. Kami berhenti transit selama 8 jam di Dubai. Apabila melangkah masuk ke dalam kapal terbang perasaan sedih hilang seketika menggantikan perasaan keterujaan dan gembira. Tidak sabar rasanya hendak sampai ke bumi ambiyak. Bumi yang selama ini sentiasa didengari kisah tauladan Kisah Nabi Musa dan Nabi Harun alaihimassalam berdakwah kepada Firaun. Raja yang zalim.

Kisah Nabi Yusof yang sangat kacak. Keterujaan yang dibawa terbang bersama di atas langit yang biru bersama dengan sahabat-sahabat yang kini telah menjadi orang-orang yang hebat.

Selepas mengharungi perjalanan yang panjang akhirnya kami tiba di Kaherah. Masih jelas di ingatan saya ketika pertama kali berbicara dengan Arab Mesir. Cuba mengaplikasikan bahasa arab yang telah dipelajari ketika kursus tempoh hari. Perasaan pelik timbul kerana saya tidak memahami bahasa yang dituturkan oleh pakcik arab tersebut.

Kami sampai ketika itu waktu malam. Tidak nampak gambaran jelas ketika itu. Tetapi kami diraikan oleh pelajar-pelajar Mesir yang mendahului kami berada di Mesir.

Kami dikumpulkan di satu tempat untuk diberikan penerangan dan taklimat sebagai persediaan sebenar kami di bumi ambiyak ini. Segala nasihat, pengalaman dan ilmu yang dikongsikan sangat berguan kepada kami.

Apa yang penting adalah kemahiran berbahasa. Walaupun bahasa yang digunakan bahasa pasar atau bahasa tidak rasmi, tetapi melalu kursus yang disertai sememangnya banyak membantu terutamanya dalam pertuturan dan pergaulan dengan penduduk setempat.

Mesir daku merinduimu. Rindu bau udara yang telah mengukirkan pengalaman di dalam hidup ini. Semoga bertemu lagi. Rindu untuk menghilangkan dahaga dari air nil di tepi-tepi jalan antara bangunan berwarna coklat.


Kelebihan Mempelajari Al-quran

No comments:

Post a Comment