Showing posts with label umum. Show all posts
Showing posts with label umum. Show all posts

Sunday, 26 January 2014

PASUKAN ABRAHAH YANG KECUNDANG

Teks : Fridaos Mohd Rawi

Gambar : http://50watts.com/



Pasukan Abrahah


بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





Mekah merupakan tempat berbarakah bagi umat Islam. Kunjungan manusia ke tempat yang paling tengah di bumi ini, berterusan sepanjang tahun. Akan bertambah bilangan penziarahnya terutama pada musim Haji dan pada bulan Ramadhan almubarak.


Terdapat banyak sejarah yang melibatkan qiblat umat Islam ini. Antaranya adalah salah satu peristiwa yang berlaku 50 hari sebelum kelahiran utusan terakhir, Nabi Muhammad saw. Tatkala kisah penuh bersejarah ini tertulis di kitab-kitab sejarah, al-Quran juga merakamkan kejadian ini di juzuk yang ke 30.


Lima ayat daripada surah al-Fil sudah menunjukkan bahawa kisah ini perlu diceritakan dan dikisahkan agar ia tidak dilupa dan dipinggirkan. Kisah ini sangat menggemparkan kerajaan Rom dan Parsi ketika itu. Abrahah merupakan satu nama pemimpin ketika itu sangat benci dan irihati kepada Kaabah yang menjadi tumpuan ramai manusia ketika itu.

Abrahah telah membina sebuah tempat yang disaluti dengan emas dengan harapan manusia akan mengalihkan perhatian mereka daripada Kaabah ke bangunan yang dibinanya. Malang sekali harapannya meleset.

Kemuncak kebencian Abrahah ialah apabila seseorang telah menyelinap masuk dan melumurkan kotoran pada tempat yang telah dibinanya. Akhirnya Abrahah telah mengerahkan 6 ribu tentera dan 9 atau 13 ekor gajah menuju ke Mekah.

Abrahah menaiki gajah yang paling besar dan berada di hadapan tentera-tenteranya. Bergerak dengan penuh sombong dan yakin akan menghancurkan Kaabah.

Sebelum tiba ke Mekah. Abrahah dan tenteranya telahpun merampas harta penduduk Mekah antaranya 200 ekor unta kepunyaan Datuk Nabi Muhammad saw Abdul Mutallib.

Abdul Mutallib telah datang menemui Abrahah dan meminta semula unta yang telah dirampas. Terkejut Abrahah kerana Abdul Mutallib hanya datang untuk mengambil unta dan tidak merayu agar tidak menghancurkan Kaabah.

Abrahah bertambah marah kerana Abdul Mutallib berkata, "Aku adalah tuan kepada unta ini dan menjadi tanggungjawab aku untuk menjaganya, sedangkan Kaabah akan dipelihara oleh Allah."

Selepas mendapatkan untanya Abdul Mutallib kembali bersama penduduk mekah ke lereng-lereng bukit. Ketika itu Mekah telah kosong kerana penduduk Mekah telah keluar untuk menyelamatkan diri.

Apa yang menghairankan ialah ketika Abrahah sampai di satu tempat gajahnya berhenti dan duduk. Tidak mahu bergerak ke Mekah. Jika di bawa mengarah ke tempat selain Mekah gajahnya akan patuh tetapi untuk menuju ke Mekah mereka enggan.

Ketika sedang bingung mereka mendapati burung-burung yang datang dan berbunyi dengan kuat menyebabkan Abrahah dan tenteranya menutup telinga. Didapati burung-burung tersebut membawa tiga biji batu. Satu di paruh dan dua biji lagi di kedua belah kakinya.

Lalu mereka dilemparkan dengan batu yang panas tersebut menyebabkan mereka lari bertempiaran. Bagi yang kena batu tersebut badan mereka jadi berlubang-lubang seperti daun yang dimakan ulat.

Ada yang mati kerana terpijak oleh rakan mereka sendiri. Abrahah berjaya menyelamatkan diri daripada mati dan kembali ke tempat jajahannya. Dia akhirnya ditimpa penyakit luluh tulang sendinya dan akhirnya mati.

Begitulah kisah Abrahahh dan tenteranya yang tercatit di dalam al-Quran. Menunjukkan pengajarannya sangat besar sehingga tercatat di dalam kitab nan agung ini. Semoga menjadi pengajaran buat kita semua.

Ingatlah tentera-tentera Allah bukan sahaja manusia bahkan Allah swt boleh memilih sesiapa sahaja daripada makhluknya untuk menjadi tentera yang gagah dan hebat.

Kelebihan Mempelajari Al-quran

Monday, 4 November 2013

TEKNIK MENAJAMKAN FIKIRAN

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google




بسم الله الرحمن الرحيم


Teknik menajamkan otak manusia sentiasa dikaji oleh Doktor Pakar seluruh dunia. Otak manusia dipercayai dapat dipertingkatkan keupayaannya melalui beberapa cara. Melalui beberapa kajian yang dijalankan beberapa jenis makanan  boleh meningkatkan ketajaman fikiran.

Dr Daniel Amen's contohnya telah membuat artikel mengenai pengambilan nutrisi yang dapat mempertingkatkan keupayaan otak manusia di sini http://abt.cm/1759C34 .

Selain itu senaman juga dipercayai dapat mempertingkatkan ketajaman otak manusia. Agak mengejutkan, apabila "senaman" yang diberikan oleh guru kepada murid yang tidak menyiapkan kerja rumah sebenarnya meningkatkan keupayaan otak manusia.

Ketuk ketampi merupakan senaman yang cukup "glamour" ketika di zaman sekolah dahulu. Senaman yang biasa diberikan oleh guru selain rotan sebagai peringatan kepada murid agar menyiapkan tugasan yang diberikan.


Menurut Dr. Eric B. Robins, M.D dalam artikel beliau Hope for ADD, ADHD, Autism & Alzheimer’s! menunjukkan kajian yang dijalankan kepada sebuah keluarga mendapati senaman " ketuk ketampi " ini telah memberikan perubahan yang agak mengejutkan.

Jadi kemungkinan orang dahulu bijak walaupun tidak cukup nutrisi mungkin kerana faktor "senaman" yang selalu dibuat di sekolah ataupun di rumah. 

Apakah rahsia Imam Syafie dalam menajamkan ingatan beliau? Beliau mampu menghafal al-Quran ketika berumur 9 tahun dan setahun selepas itu menghafal Kitab Muatta' karangan Imam Malik. 

Sudah pasti ramai yang telah mendengar kisah Imam Syafie mengadu kepada guru beliau  Waki’ mengenai hafalannya yang buruk. Katanya:

شَكَوْتُ إِلىَ وَكِيْعٍ عَنْ سُوْءِ حِفْظِى     فَأَرْشَدَنِيْ إِلىَ تَرْكِ الْمَعَاصِى
فَإِنَّ عِلْمَ اللهِ نُوْرٌ                       وَنُوْرُ اللهِ لاَ يُهْدَى لِعَاصٍ

Aku mengadu kepada Waki tentang buruknya hafalanku
Maka Waki menasihatiku untuk meninggalkan maksiat

Karena ilmu Allah itu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada pelaku maksiat

Kesimpulannya ketajaman fikiran manusia dapat dipertingkatkan melalui pemakanan, senaman dan juga amalan sebagaimana yang diamalkan oleh ulamak dan kajian daripada mereka yang pakar.

Monday, 16 September 2013

SEBAIK-BAIK MANUSIA

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Hadith di atas merupakan hadith bagi memberi motivasi kepada kita agar mempelajari al-Quran dan mengajarkannya. 

Maksud hadith daripada Othman bin Affan radiallahuanhu, daripada Nabi saw. Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.

Ini merupakan ruang dan peluang yang diberikan kepada kita untuk menjadi insan terbaik di sisi Allah s.w.t. Jika seorang yang pakar dalam ilmu kewangan dan perniagaan dibayar oleh kerajaan sehingga beribu-ribu ringgit untuk memberikan latihan kepada kumpulan-kumpulan terpilih oleh kerana ilmu yang ada padanya, Allah swt juga membayar "duta" al-Quran. Bagaimana dan bentuk yang bagaimana itu terpulang kepada Allah swt. Di akhirat dengan izin Allah sudah
pasti di dunia mungkin "duta" ini mendapat bayaran tanpa disedari. Mungkin Allah swt memberikan kesihatan, panjang umur, keluarga bahagia dan sebagainya.

Setakat pengalaman saya begitu juga orang-orang lama, tidak pernah seseorang yang mengajar al-Quran hidup susah dan merempat. Usaha yang mereka curahkan sudah tentu dipandang mulia oleh Allah s.w.t kalaupun bukan pada pandangan mata manusia biasa. 

Kalaulah boleh dikira amalan mereka yang mengajar al-Quran dan pada hakikatnya amalan tidak dapat dikira oleh manusia, kalaulah satu surah Fatihah diajarkan kepada seorang murid, cuba bayangkan setiap kali dibaca surah tersebut. Sudah pasti mengalir pahala kepada guru yang telah mengajarkannya surah Fatihah tadi.. Kalaulah begitu, mungkin keluasan syurga sentiasa bertambah dan bertambah berkat hasil mengajar ilmu yang bermanfaat. Bahkan hadith di atas  merupakan satu hadith yang khusus menceritakan tentang kelebihan mereka yang mengajar al-Quran



Marilah kita menjadi seperti mereka bermula dengan mengajar anak-anak di rumah. Ia akan menjadi penyebab mendapat rahmar daripada Allah s.w.t. Merekalah antara jutawan akhirat InsyaAllah.Amin.

Sunday, 15 September 2013

BERHENTI KERJA DAN MULAKAN BISNES?

TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.




Jika kita hendak berniaga, maknanya kita sedang mengikut Rasulullah. Rasulullah mengikut bapa saudaranya Abu Talib ke Syam ( Syria ) ketika berusia 12 tahun dengan tujuan untuk berniaga. Beliau  telah mengajar anak saudaranya cara berniaga. Perniagaan yang jujur dan barang yang berkualiti.

Dengan peluang yang terdapat pada hari ini pasti ramai yang cuba untuk berniaga secara sambilan bagi menambah pendapatan isi rumah masing-masing. Persoalannya adakah wajar untuk kita berhenti kerja dan berniaga secara sepenuh masa? Sudah pasti akan terdapat dua jawapan. Setuju atau tidak setuju.

Saya sedang membaca buku Rich Dad Poor Dad sebuah buku karangan Robert Kiyosaki. Menceritakan mengenai pengalaman beliau sendiri. Apa yang saya dapat ( belum habis baca lagi ) beliau menasihatkan agar sekiranya hendak buat bisnes jangan berhenti kerja dahulu. Langkah awal sebelum berbuat demikian ialah perlu memastikan bisnes yang hendak dibuat akan mampu bertahan.

Beliau sendiri bekerja makan gaji dan membuat bisnes secara sambilan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti. Kesimpulannya semangat yang tinggi sahaja tidak cukup untuk terjun ke dalam dunia bisnes secara sepenuh masa. Perlu ilmu yang mantap dan kental bagi menghadapi dunia perniagaan.

Sekiranya anda seorang suri rumah dan ingin menambah pendapatan anda, bolehlah belajar buat blog sebagai salah satu langkah awal. Tidak rugi mencuba. Silalah klik ke sini  http://belajarasasblog.blogspot.com/

p/s - Rezeki Allah luas. Allah Maha Kaya  kita perlu minta kepadaNya ,berusaha dan bertawakal InsyaAllah.




Monday, 26 August 2013

HEBATNYA SYAHID DI JALAN ALLAH


TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



 Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

(Surah Ali Imran ayat 185)

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai maut". Siapa yang dapat menafikan? Kali pertama  melihat video para shuhada Chehcen pada awal tahun 2000 melalui cd saya dapat merasakan para shuhada sedang menantikan tempat yang penuh dengan kenikmatan kerana wajah para shuhada tersenyum  manis seperti sedang tidur.

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

(Surah Ali ‘Imran:169-171)

Keadaan yang sama berlaku kini, dengan video dan gambar yang di post di youtube dan facebook membuktikan kekuasaan Allah s.w.t dan kebenaran Rasul junjungan Nabi s.a.w. Mayat para shuhada di Palestine, di Syria dan di Mesir dengan senyuman dan bauan wangi seperti kasturi dan darah yang masih mengalir benar-benar menjadi bukti. Satu pengajaran dan kekuasaan yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t . 

Doa yang biasa kita panjatkan setiap hari bagi menghadapi  kematian ialah :

Ya Allah matikanlah kami di dalam husnul khatimah (mati dalam kebaikan ) dan janganlah matikan kami dalam keadaan yang suul khatimah. ( mati dalam keadaan buruk ). 
Doa ini perlu dihafal agar kita dapat  minta pada Allah s.w.t dikurniakan penghabisan yang baik sebab manusia tidak dilihat permulaan tetapi penghabisan hidupnya. Mungkin saja seseorang itu tidak taat kepada Allah s.w.t pada mulanya tetapi bertaubat dan mati dalam keadaan yang baik. Allah s.w.t ampunkan dosanya dan memilihnya menjadi ahli syurga. 

Semoga  kita mendapat kematian yang baik seperti mana mereka yang telah mendahului kita.

Semoga bermanfaat

Sekian , Wasalam.

Firdaos mohd rawi




Sunday, 25 August 2013

PUASA 6 - PACKAGE PAHALA MESTI DIREBUT -



TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Kalau kita gunakan duit kita untuk beli apapun barang atau perkhidmatan, kita mesti teruja dengan package-package jualan yang ditawarkan. Beli dulu bayar kemudian, beli satu percuma satu, tak kurang dengan jualan penghabisan stok, 2+2  dan sebagainya. Ramai yang akan rebut. 

Allah s.w.t juga memberikan kita peluang bagi kita menambah lagi pahala amala kita. Ini package puasa 6 dapat setahun penuh berdasarkan hadith berikut :-



Berpuasa enam hari di bulan Syawal


عن أبي أيوب رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر.

Dari Abu Ayyub r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda Rasulullah s.a.w bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian mengikutinya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”

( Hadis Riwayat Muslim )


Kita mungkin tak mampu berpuasa setahun , tapi ni puasa tambah 6 hari dalam Syawwal  ibarat kita puasa setahun penuh. 

Semoga bermanfaat

Sekian , Wasalam.

Firdaos mohd rawi