Wednesday, 28 November 2018

KEMBARA MESIR : TASIK QARUN

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Gambar : Google




Bandar raya Mesir. Sinar matahari menyucuk badan. Perjalanan ke Fayyoum ketika itu dengan menaiki bas. Berhampiran bandar ini terletak satu tasik.  Ikut sejarah, di sini lah sejarah tempat seorang manusia bernama Qarun. 


Keluasan tasik ini adalah 55000 hektar.

Disebut dalam surah al-Qosos ayat 76 m.s 395

Allah berfirman, “Sesungguhnya Qarun termasuk daripada kaum Musa, tetapi dia berlaku zalim terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta dan kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat. Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya, ‘Janganlah engkau terlalu bangga. Allah Taala tidak menyukai orang yang membanggakan diri.’

Sebenarnya Qarun adalah salah satu dari kaum Musa dari kalangan Bani Israil.
Kaya dan dilimpah dengan harta tetapi tidak beriman.
Bermula musuh Qarun dengan Nabi Musa alaihissalam adalah apabila perintah zakat disyariatkan.

Setiap 1000 dinar, satu dinar.
Setiap 1000 kambing, seekor kambing.

Qarun tidak berpuashati.

Dia berkata kepada Bani Israil, "Mari kumpul dekat rumah aku, aku nak bagi zakat dan panggil Musa sekali."

Berkumpul Bani Israil beramai-ramai termasuk Nabi Musa. Dan dalam diam, dia telah upah seorang perempuan mengaku dia berzina dengan Nabi Musa.

Apabila semua dah datang dan Nabi Musa datang Nabi Musa kata, "Bagus Qarun dia dah mula nak bagi harta dia pada orang ramai."

Ketika itu, Qarun berkata kepada Bani Israil, "Wahai saudara-saudaraku sekalian
kalau kita mencuri, syariat Musa kata apa?"

"Kalau mencuri potong tangannya."

"Kalau seorang itu berzina, dan dia tidak mempunyai isteri, apakah kata syariat Musa?"

"Dia akan disebat dengan seratus rotan. Kalau dia berzina dan dia punyai isteri maka dia akan direjam sehingga mati. "

"Kalau begitu, wahai sahabat-sahabat saudaraku sekalian, Musa yang membawa syariat ini, dia telah berzina."

Semua ternganga dan mata terlopong.

"Aku akan panggil perempuan yang telah berzina dengan Musa." kata Qarun.

Maka dipanggil perempuan itu, dan ketika perempuan itu keluar dia berkata, "Ya aku telah berzina dengan Musa!"

Maka gemparlah Bani Israil ketika itu.

Nabi Musa hanya diam dalam keadaan hatinya terharu. Tidak tahu nak cakap apa.
Selepas perempuan itu habis sahaja cakap, Nabi Musa pandang terus tepat ke mata perempuan itu.

"Wahai perempuan, aku ingin bertanya kepada engkau," kata Musa, "di atas nama tuhan yang maha berkuasa, betulkah aku ini tidur dengan engkau?"

Ketika melihat mata Musa alaihissalam, menggeletar tubuh badan wanita itu, 
"Tidak.... tidak, sebenarnya, aku dibayar oleh Qarun."

Terus gempar kaum Nabi Musa dan terus sujud kepada Allah subhanahu wataala. 

Dalam sujud, sebut, "Ya Tuhan, aku ingin keadilan darimu tuhan."

Angkat sahaja kepala Allah subhanahu wataala berfirman, "Wahai Musa, aku perintahkan bumi ini untuk taat kepada engkau."

"Wahai Qarun, berkatalah yang benar." kata Musa.

"Takde-takde dia tengok engkau sebab itu dia takut," kata Qarun, "memang kau berzina, kau tidak selayaknya menjadi Nabi."

Kata Musa alaihissalam, "Kalau perkataan kau dusta, "wahai, bumi ambillah mereka." 
Bergegar bumi, dan bumi mula telan Qarun dan pengawalnya sedikit demi sedikit 
sampai ke buku lali.

Kata Musa, "Wahai Qarun berkatalah yang benar."

Kata Qarun, "Takde Musa kau memang sengaja nak mendoakan aku begini pula. Kau telah berbuat jahat."

Kata Musa, "Wahai bumi, ambillah mereka." Maka bumi menelan mereka sehingga ke dada.

Qarun masih sama mempertahankan.

"Wahai bumi, kalau dia dusta kau telanlah mereka." 
 Maka ditelan bumi sehingga ke paras leher.

Kata Qarun, "Baiklah Musa aku salah."Tetapi sudah terlambat kerana roh telah ditarik sehingga ke halqum. Taubat tidak diterima. Akhirnya tertelanlah Qarun  dan hartanya.


Seluas mata memandang ketika saya melihat tasik Qarun itu. Tak terbayang dalam minda saya, sejarah Qarun dan cerita ustaz masa sekolah dulu begitu besar tasik itu sebenarnya.

Timbul keinsafan. Sesak dada. Semoga Allah memelihara iman ini.


Imam Hafs

Monday, 26 November 2018

AL-QURAN ITU SYIFAK

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Gambar : Google




Langit yang cerah tidak sampai ke petang. Ada masa hujan. Ada masa mendung. Ada masa ribut.

Ada kawasan banjir, ada yang kemarau. Begitu juga kehidupan. Masing-masing dengan ujian. Ketetapan ilahi, untuk menguji iman di dada. Agar memperolehi kekayaan pahala bagi yang genggam sabar.

Pernah satu ketika rakan saya diuji. Dengan sakit yang sedikit misteri. Bermula dengan sakit kaki dan akhirnya beliau tidak dapat bergerak.

Hospital dah pergi. Bahkan, ramai yang ada ilmu datang membantu. Ketika itu, saya dapat melihat pelbagai ragam cara perubatan. 

Nampak sakit tidak juga kebah, ibarat matahari semakin lama semakin panas. Seorang sahabat minta tolong pada seorang syeikh tempat kami belajar.

Syeikh ini, selain mengajar Nahu di masjid, wajahnya sentiasa tersenyum. Melihatkan gigi yang putih bersih selain tasbih di tangan yang sentiasa di pegang. Satu persatu dikira dengan jari. 


"Mana minyak zaitun tadi?", Tanya Syeikh.

"Baik, kamu semua duduk di sini dan baca surah Soffat, setiap ayat dibaca 21 kali."
"Selepas ayat 1 dibaca 21 kali, baca ayat kedua 21 kali dan seterusnya sampai aku suruh berhenti."

Maka bermulalah alunan bacaan al-Quran sebagaimana yang diminta oleh Syeikh.

Syeikh pula dengan senyumannya yang tidak tertanggal, mengambil minyak dan disapu sambil mengurut sahabat kami.

Tidak kepalang menahan sakit. Tetapi Syeikh seperti tidak dengar dan hanya meneruskan sahaja apa yang beliau perlu lakukan.

Selepas sahaja selesai, kami mengangkat sahabat itu ke bilik air. Berkerut dahi saya. Pelik, badannya menjadi berat dua tiga kali ganda.

Ibarat ayat yang al-Quran dimasukkan ke dalam badan beliau.

Dan semenjak hari itu, penyakitnya semakin lama semakin pulih seperti banjir yang kian surut. Dan matahari mulai bersinar. Memancarkan cahaya pengharapan.

Beliau kian pulih dan terus pulih. 

Benarlah al-Quran itu syifak. Berguna bagi mereka yang yakin. 



Imam Hafs


Saturday, 24 November 2018

ULASAN KELAS ASAS BLOG

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi

Tulisan ini panjang. 

Sejak empat belas hari lalu saya telah pasakkan dalam minda agar buat sampai habis. Untuk kali ini mesti selesai. Alhamdulillah syukur, ketika saya menulis status ini, saya berjaya habiskan tugasan menulis 44 entry dalam masa sebulan bagi kelas asas blog. Saya pegang stereng dan dipantau rapat Puan Masayu Ahmad

Beliau adalah seorang bekas wartawan dan giat membantu suri rumah yang berminat menambah pendapatan menulis penulisan melalui medium blogger. 
.

Tangan emas. Begitulah. Ramai alumni beliau telah berjaya menulis dan disunting oleh syarikat penerbitan sehingga buku-buku mereka tersusun cantik di pameran buku negara. 
Dan mampu menambah pendapatan. 

Bagaimana kelas beliau dijalankan.

Langkah pertama soalan analisa akan diberi.
Ia penting bagi mengenalpasti kepakaran atau niche yang sesuai.
Kemahiran dan kepakaran atas sesuatu tajuk akan dipilih agar boleh menulis dengan lancar dan memberi impak terhadap pembaca. 

Panduan  tugasan akan diberi setiap hari.
Kalian akan 'dikejar' agar terus kekal dalam landasan yang benar.

Jujurnya saya telah mengikuti kelas beliau sejak tahun 2013 lagi. Tepatnya bulan 6 2013. Sudah lima tahun. Namun begitulah, usaha untuk menguasai kemahiran menulis bukan proses yang singkat.
.
Untuk bermula itu mudah tapi untuk kekal berlari itu payah. 

Untuk kali ini, saya hadir kelas dengan mindset yang berbeza. 


"Aku mesti habiskan juga." 

"It's now or never." 

Sifu mindset saya sebut, tukar cara fikir maka akan bertukarlah cara tindakan. 
Fikir luar biasa, maka tindakan akan jadi luar biasa.

Kedua niat. Guru saya beritahu niat itu akan menentukan sama ada kita akan letih atau  kita akan menikmati perjalanannya.

Alhamdulillah saya sedar banyak yang perlu dipelajari. Perbetulkan ayat dan bahasa, tatabahasa, tanda baca, perisa, garam gula dan sebagainya tetapi jiwa syukur kerana saya telah berjaya memecahkan halangan yang besar. Halangan itu adalah diri saya sendiri.

Keyakinan dan kepercayaan.

Puan Masayu selalu berikan kata yang membuatkan keyakinan dan kepercayaan itu hadir. 

Terima kasih pada Puan Masayu yang tetap sabar melayan segala kekurangan. Semoga mengalir kebaikan dalam kehidupan cikgu.

Untuk anda yang ingin mula menulis. Tulislah.

#Firdaosrawi
#EnjoyTheJourney

KEPAKARAN SAYA

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 

Ketika di Mesir, subjek yang saya ambil adalah pengkhususan al-Quran. Kami belajar berkenaan dengan ilmu yang berkaitan dengan al-Quran.

Oleh itu saya untuk saya, kepakaran dan kemahiran saya adalah dalam bidang al-Quran. 

Saya membantu  membetulkan bacaan secara praktikal dari zero kepada hero. Dan berkemahiran melatih mereka yang ingin menghafaz ayat daripada al-Quran.

Dengan catatan, lebih ramai lagi yang lebih berilmu dan mahir berbanding saya.

Allah subhanahu wataala memberi peringatan  bahawa,

"dan diatas setiap yang mempunyai pengetahuan ada yang lebih tahu."

surah yusuf ayat ke 76
muka surat 244 mashaf resm othmani.

Ketika ini juga saya bertugas mengajar al-Quran selain terlibat sebagai panel dalam melatih peserta yang akan bertanding ke peringkat negeri.

Selain itu, saya juga berkemahiran dalam mengedit video editing, gambar dan suara.
Dan kini sedang mendalami kemahiran penulisan.

Banyak lagi yang perlu saya belajar dan pesan Rasulullah (baca selawat atas baginda ) sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

 Imam Hafs

Friday, 23 November 2018

EMAK RATU HATIKU

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 


Emak. Ibu. Bonda. Atau apa sahaja istilah yang kita namakan orang yang melahirkan kita. Saya panggil orang yang melahirkan saya dengan panggilan Emak. 


Arwah emak dilahirkan pada 12 Mac di Pekan Pahang. Beliau anak kedua dalam keluarga besar. Oleh sebab itulah mak sentiasa membantu arwah nenek. Dan emak sejak kecil lagi sudah bantu nenek memasak.

Oleh sebab selalu bantu nenek di dapur sejak kecil, jadi kemahiran memasak beliau semakin hari semakin baik dan boleh dikatakan apa sahaja masakan emak boleh buat.

Kari kepala ikan. Antara menu yang mengingatkan kami pada arwah emak.
Dan yang pasti, tidak sama dengan masakan oran lain. Air tangan emakkan. Begitulah.

Selain  memasak, beliau juga mahir menjahit dan menggubah bunga. Langsir, baju, tudung boleh sahaja dijahit.

Ada dua mesin lama yang jenis goyang kaki tu di rumah. 

Selepas sekolah emak bekerja sekejap dan terus dilamar ayah. Lahirlah kami berempat. Alhamdulillah.

Saya ingat lagi walau mak tidak bekerja seperti orang lain, emak berniaga kueh dari rumah. Bulan puasa antara bulan yang sibuk dengan tempahan kueh. 

Kerepek bawang, tart gulung, almond london dan biskut cornflakes antara tempahan yang pasti setiap tahun. Dan itulah duit yang emak kumpul sampailah beliau pergi mengerjakan haji. 

Selain itu mak selalu membantu memasak di Masjid. Kebetulan setiap minggu pasti ada makan-makan. Apabila mak meninggal orang-orang Masjid turut sama bersedih. Dan saya masih ingat imam ada sebut, dia adalah seorang yang istimewa. Alhamdulillah. Semoga amalan baik mak diterima oleh Allah.

Saya sentiasa mendoakan kebaikan buat emak. Semoga apa yang diamalkan oleh kami akan mengalir juga kepada mak. Saya masih ingat kali terakhir bercakap dengan arwah emak adalah ketika hendak pergi ke satu seminar. Mengarapkan redha ibu itu yang selalu diajar bukan sahaja agama kan. 

Dengan suara yang lemah dan nafas yang lelah beliau kata,

"Pergilah, Mak doakan."


Sama seperti orang lain beliau  inginkan kejayaan untuk anaknya. Saya bersyukur kerana doa dan redha emak saya kira saya  jalani kehidupan yang baik.



Dan saya sentiasa yakin, kejayaan seseorang itu bukan hanya bergantung kepada pandainya semata-mata. Hakikatnya terikat dengan doa dan redha dari seorang ibu. Doa yang tidak pernah putus untuk anak-anak.

Marilah kita doakan ibu dan bapa kita. Walau siapa pun mereka.  

Alfatihah buat Noriah binti Normah.

Imam Hafs






KISAH MASA KECIL

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 


Petang itu langit muntah dengan banyak sekali. Hujan yang lebat melecakkan jalan hadapan rumah makcik. Adik kepada ayah.

Kami selalu akan singgah di rumah makcik di linggi apabila pulang dari kampong.

Reda sahaja hujan, saya dan sepupu siti(bukan nama sebenar) mengacau lecak yang ada di jalan.

Sedang seronok main datang dua budak lelaki dari kejiranan situ.

"Sini tak best. Meh ikut aku."

Ketika itu saya masih berumur 4 tahun. Hanya mengikut sahaja dua orang abang tu. 

Berhadapan dengan rumah terdapat taman permainan. Sampai sahaja di situ, dia mula memasukkan kayu ke dalam lubang dipenuhi air. "

"Wah, banyaknya air."

Saya juga mencucuk-cucuk kayu itu. Semakin lama kayu dicucuk semakin tenggelam ke dalam air dan.

"Gedebush."

Saya berpusing, mata memandang ke atas. Cuba mencapai sesuatu. 

Tiba-tiba jelas nampak sebatang kayu dicucuk dan saya pegang kayu itu dan ditarik ke atas.


Ketika itu, saya nampak ayah berada di hadapan pintu masuk taman tanpa selipar. Rupanya saya telah terjatuh ke dalam takungan air tersebut.

Ayah beritahu, budak dua orang yang bawak pergi ke situ lari. Kebetulan ada budak darjah 3 yang tolong. Kalaulah. Kalau dia tidak lalu dan nampak tangan saya tenggelam timbul, saya mungkin sudah berada di syurga.

Saya terus di bawa ke hospital dalam keadaan paru-paru telah dimasuki air. Air dikeluarkan. Dua malam dekat situ agak menyesakkan terutama masa nak keluarkan air dari peparu.


Dan sejak dari hari itu, ayah amat berhati-hati terutama ketika berada di kawasan air.
"Hati-hati jangan suka sangat pergi pantai tu."


Imam Hafs
Masih panjang umur

AYAH MULA BERNIAGA

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 

Ayah ambil keputusan untuk pencen awal. Kami tidak tahu kenapa. Dan kami juga kecil lagi untuk bertanya soalan itu.

Setelah beberapa lama ayah duduk di rumah, ayah pernah bersama dengan kawannya menyewa di satu rumah kedai di area Kota Kemuning, Shah Alam.

Saya ingat lagi ayah akan keluar pagi dan balik malam hari. 


Tapi akhirnya ayah dan kawannya terpaksa tutup kedai. Saya kira dulu tidak sama seperti hari ini. Kalau dulu, siapa yang nak bantu usahawan baru seperti ayah? Tiada.

Sekarang ramai sahaja orang yang kita boleh bertanya dan berguru. Banyak kelas-kelas yang dibuat oleh orang-orang hebat dalam industri. Yang dah berjaya dan yang dah belajar liku-liku yang boleh dielak.

Bagimana sistem yang boleh digunakan agar walau tidak berada di restoran, operasi boleh berjalan seperti biasa.

Bagaimana nak uruskan akaun dan sebagainya.

Jadi bila ayah letakkan kepercayaan kepada pekerjanya untuk beli barang basah dan sebagainya, rupanya ia tidak seperti yang diharapkan.

Habis duit disapunya sedikit sedikit. Menjadi antara punca perniagaan tiada untung dan semakin rugi. Akhirnya ayah terpaksa menutup kedai dan menanggung rugi.

Begitulah ayah. Jiwanya untuk berniaga sangat tebal. Mungkin kerana arwah atuk dan juga adik beradik ayah yang lain. Mungkin dulu jika ada kursus perniagaan seperti hari ini, ruang untuk melakukan kesilapan seperti itu boleh dikecilkan.

Walaupun ayah pada pandangan orang tidak berjaya, dia tetapi adiwira di hati kami anak-anaknya.


Imam Hafs