Thursday, 23 June 2022

TEKNIK HAFAZAN DAN MENGULANG AL-QURAN AGAR INGAT SEMUANYA

Ada dua orang kawan yang sama-sama masuk ke Maahad Tahfiz.

Tahun yang sama tetapi Maahad yang berbeza.

Selepas masing-masing keluar, seorang dari rakannya boleh ingat seluruh isi al-Quran yang telah dihafaz. Seorang lagi tidak ingat keseluruhan. Mungkin ingat beberapa juzuk dari apa yang telah dibaca di hadapan gurunya.

Ada orang kata ianya rezeki masing-masing. Ya betul.

Mungkin juga teknik yang digunakan berbeza.

Ada 1 teknik yang sangat baik jika dapat diamalkan akan berikan kesan yang sangat baik buat penghafal al-Quran.

Sebelum itu, kita fahami dulu istilah di bawah ini. Agar dengan faham istilah ini, kaedah ataupun teknik ini dapat digunakan bagi penghafaz al-Quran.

Tahfiz Jadid ( Hafaz ayat baru)
Tasmik Tahfiz Jadid ( Baca di hadapan guru hafazan baru )
Tasmiq Sabqi Baru (SB) ( Baca di hadapan guru / rakan bagi hafazan baru)
Tasmiq Sabqi Lama (SL) ( Baca di hadapan guru / rakan bagi hafazan lama)
Murajaah Manzil (MM) ( Ulangan ayat manzil)

Ketika menghafaz akan ada dua proses yang utama.

1- Ziyadah ( Tambahan hafazan baru)
2- Murojaah (Ulangan ayat yang telah dihafaz )


1- Ziadah
Untuk hafazan baru, adalah dinasihatkan untuk para penghafaz untuk mengulang hafazan baru sebanyak 40 kali. Adalah sangat baik apabila murid membaca hafazan baru dalam keadaan mereka benar-benar ingat. Atau telah mengulang banyak ketika proses hafazan baru. Ini bagi memudahkan proses murajaah seterusnya.

2- Murojaah
Proses murojaah atau pengulangan adalah proses yang amat penting bagi mengekalkan ingatan pada ayat yang telah dihafaz. Ia sangat penting, sebab sebanyak manapun seseorang itu ulang ketika hafaz alquran, jika tidak ada proses murojaah ini, hafazan akan hilang.
Walaupun ayat tadi telah diulang beratus kali.

Proses ulangan yang disarankan.

Murojaah Sabqi ( Ulangan Sabqi)

Sabqi adalah murojaah atau ulangan ayat yang baru ditasmik.

Contoh
Pada hari Isnin, dia baru hafaz dan tasmik bacaan hadapan guru ayat pada juzuk 5 muka surat 82. (Tahfiz Jadid)
Habis sahaja baca di hadapan guru, muka surat 82 tadi dinamakan sebagai (Sabqi Baru).

Jadi dari hari pertama (Isnin) dia tasmik Sabqi muka surat pertama (m.s 82).
Hari kedua (Selasa) dia tambah Tahfiz Jadid yang baru iaitulah muka surat kedua dari juzuk 5 (m.s83)

Muka surat 1(m.s82) dan 2(m.s83) dari juzuk 5 ini jadi sabqi baru.
Seterusnya muka surat 3 dari juzuk 5 (m.s 84)
Jadi sabqi ada 3 halaman.

Isnin m.s 82 (Sabqi baru)
Selasa m.s 83 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-83
Rabu m.s 84 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-84
Khamis m.s 85 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-85
Jumaat m.s86 (Sabqi baru) - Diulang bacaan m.s 82-86

Maka Sabqi baru untuk minggu pertama ada 5 muka.

Setiap hari mesti diulang bacaan Sabqi baru ini. Fungsi sabqi baru ini adalah untuk ikat hafazan yang baru di tasmik hadapan guru.

Begitulah sehingga halaman ke-20.

Setakat ni boleh faham ke? Tak faham boleh tanya terus.

Untuk habiskan 1 juzuk begini kiraannya.

1 Juzuk = 20 Muka surat
1 bulan = 30 hari
Tolak 4 hari cuti ( Sabtu Ahad)
Jadi sebulan tinggal 26 hari.
Kalau istiqomah 1 hari 1 muka jadi dia perlu 20 hari untuk siapkan 1 juzuk,
ada lebihan 6 hari. 6 hari ni untuk persiapan Murojaah Kenaikan Juzuk (MKJ). 6 hari ni masa untuk lancarkan sebanyak 1 juzuk yang baru ditasmik bulan semasa. Dalam contoh ni juzuk 5.

Kalau dia istiqomah betul-betul, dia hanya perlu 2-3 hari sahaja untuk selesaikan MKJ.
Ikutkan tadi ada 6 hari kan. MKJ ni apa?

Prosesnya adalah, ditasmik terus 1 juzuk.
Kalau boleh tasmik semua dengan lancar dan jawab semua, maka Juzuk 5 tadi naik taraf kepada ayat manzil.

Murojaah Kenaikan Juzuk ini adalah tasmik terus 1 juzuk tadi.
Ada yang buat 5 muka surat dulu, ada yang 10 muka surat terus. Apa yang penting habis tasmik sabik 1 juzuk.

Selesai MKJ, dia akan proses untuk Ujian kenaikan Juzuk (UKJ).
Cara buat UKJ ini adalah disoal dan ditebuk ayat juzuk 5 ni.

Guru tebuk murid tadi juzuk yang telah dia hafaz. Boleh atau tidak untuk jawab semua. Ujian ini bila lulus, barulah boleh hafaz yang baru.

Biasanya bila dah amalkan murojaah sabqi ini dia boleh jawab. Sebab setiap hari baca.

Maka Juzuk 5 tadi naik taraf kepada ayat manzil.

Kiranya dia telah ada 1-5 juzuk ayat manzil.

Murojaah Manzil.

Murojaah manzil ini adalah murojaah yang rutin dibaca secara urutan dari juzuk 1 sehingga juzuk terakhir yang mana selain juzuk yang tengah hafaz.

Jika sekarang dia tengah hafaz juzuk lima, jadi Murojaah Manzil ini adalah dari juzuk 1 hinggalah juzuk 4.

Terpulang nak baca berapa banyak. Setengah juzuk ke. 1 juzuk ke yang penting dalam 1 minggu, dia boleh habiskan murojaah Manzil. Dalam contoh ini dari juzuk 1-4.

Dan murojaah Manzil ini adalah murojaah yang wajib disemak. Samaada dengan guru, ataupun dengan teman.

Boleh buat battle. Dan sebagainya.
Dicatat kalau ada kesalahan.

Dan dengan buat proses Murojaah Manzil ini, dengan secara tidak sedar murid sedang buat Simulasi Ujian Tahfiz Setiap Hari.
Kerana telah biasa semak hafazan kawan-kawan. Dengan sistem koreksi dan markah tadi.

Ini contoh 1 muka surat.
Boleh juga diamal untuk yang menghafaz 1 maqra. Yang penting proses sebelum naik ke juzuk baru itu penghafaz telah benar lancar hafazan lama.

Fakta. Biasa murid akan fokus untuk tambah hafazan baru sahaja. Tambah, tabah dan tambah.
Tetapi Murojaah sangatlah penting.
Penting untuk kekalkan hafazan.
Masalahnya adalah apabila sudah selesai hafaz 20 muka surat, tanpa proses murojaah ayat itu akan lupa dan terpaksa hafaz semula muka surat belakang tadi.

Dan biasanya untuk hafal semula agak berat.

Semoga dengan cara yang teratur ini, hafazan akan kekal dalam ingatan penghafaz.

Firdaos Rawi


No comments:

Post a Comment