Sunday 23 June 2013

KEPENTINGAN TALAQQI


TEKS : Firdaos Bin Mohd Rawi

Gambar : Google

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

              Sebaik-baik cara amalan yang perlu kita ikuti ialah dengan mengikut cara Rasulullah s.a.w yang merupakan insan pilihan dan kekasih Allah s.w.t. Begitu juga di dalam pembelajaran al-Quran, kita tidak boleh lari daripada kaedah asal yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

             Di dalam kitab Ulumulquran ( ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-Quran ) telah menerangkan bahawa penurunan al-Quran  berlaku di dalam tiga peringkat.

Peringkat pertama - Penurunan al-Quran daripada Allah s.w.t ke Lauh Mahfuz secara keseluruhan.

Peringkat kedua - Penurunan al-Quran daripada Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah ( Langit Dunia )                                  secara keseluruhan.

Peringkat ketiga - Penurunan al-Quran daripada Baitul Izzah kepada Rasulullah s.a.w melalui Malaikat Jibril yang ditugaskan membawa wahyu kepada para utusan Allah s.w.t. Pada peringkat ini, al-Quran tidak diturunkan secara keseluruhan bahkan ia diturunkan secara beransur-ansur mengikut keadaan tertentu samaada melalui peristiwa yang berlaku, soalan kepada Rasulullah s.a.w dan sebagainya. Pada peringkat ini berlaku proses Talaqqi antara Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibril a.s.

Seterusnya proses talaqqi berlaku antara Rasulullah s.a.w dengan para sahabat baginda. Mereka mendengar dan mengambil bacaan secara musyafahah daripada Rasulullah s.a.w.. Begitulah sunnahnya cara pengambilan bacaan al-Quran.

Proses ini berlaku seterusnya antara sahabat-sahabat kepada para tabien dan seterusnya sehinggalah pada zaman ini. Di negara-negara Timur Tengah khususnya kelas-kelas serta halaqah al-Quran dijalankan dengan kaedah talaqqi musyafahah agar pembacaan al-Quran terpelihara dengan baik dari segi tajwid.

           Inilah asas yang penting di dalam proses untuk menjadi Bijak Al-Quran ialah menggunakan cara dan teknik yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Salah satu sistem yang tidak boleh tidak mesti digunakan ialah Sistem Talaqqi.

           Talaqqi ialah mempelajari Al-Quran secara berhadapan dengan guru yang mahir. Guru tersebut juga mempelajari Al-Quran secara talaqqi dan merantai berkesinambungan sampai kepada Rasulullah s.a.w. Walaupun kecanggihan zaman ini mampu melahirkan "guru-guru elektronik" ia tidak cukup bagi melahirkan Qari yang sempurna bacaannya.

Kesimpulannya kaedah Talaqqi adalah kaedah terbaik bagi mempelajari al-Quran. 

p/s : Rasulullah s.a.w bertalaqqi dengan Malaikat Jibril membaca keseluruhan al-Quran sekali setiap tahun pada setiap bulan Ramadhan. Pada akhir hayat baginda, baginda membaca dua kali al-Quran pada akhir hayat baginda di bulan Ramadhan.

Sekiranya anda berminat untuk talaqqi al-Quran secara bersanad saya serta beberapa sahabat bersedia membantu melalui program Talaqqi Al-Quran Bersanad anjuran Shubra Concultancy. Semoga bermanfaat.

Firdaos mohd rawi

No comments:

Post a Comment