Friday 23 November 2018

EMAK RATU HATIKU

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 


Emak. Ibu. Bonda. Atau apa sahaja istilah yang kita namakan orang yang melahirkan kita. Saya panggil orang yang melahirkan saya dengan panggilan Emak. 


Arwah emak dilahirkan pada 12 Mac di Pekan Pahang. Beliau anak kedua dalam keluarga besar. Oleh sebab itulah mak sentiasa membantu arwah nenek. Dan emak sejak kecil lagi sudah bantu nenek memasak.

Oleh sebab selalu bantu nenek di dapur sejak kecil, jadi kemahiran memasak beliau semakin hari semakin baik dan boleh dikatakan apa sahaja masakan emak boleh buat.

Kari kepala ikan. Antara menu yang mengingatkan kami pada arwah emak.
Dan yang pasti, tidak sama dengan masakan oran lain. Air tangan emakkan. Begitulah.

Selain  memasak, beliau juga mahir menjahit dan menggubah bunga. Langsir, baju, tudung boleh sahaja dijahit.

Ada dua mesin lama yang jenis goyang kaki tu di rumah. 

Selepas sekolah emak bekerja sekejap dan terus dilamar ayah. Lahirlah kami berempat. Alhamdulillah.

Saya ingat lagi walau mak tidak bekerja seperti orang lain, emak berniaga kueh dari rumah. Bulan puasa antara bulan yang sibuk dengan tempahan kueh. 

Kerepek bawang, tart gulung, almond london dan biskut cornflakes antara tempahan yang pasti setiap tahun. Dan itulah duit yang emak kumpul sampailah beliau pergi mengerjakan haji. 

Selain itu mak selalu membantu memasak di Masjid. Kebetulan setiap minggu pasti ada makan-makan. Apabila mak meninggal orang-orang Masjid turut sama bersedih. Dan saya masih ingat imam ada sebut, dia adalah seorang yang istimewa. Alhamdulillah. Semoga amalan baik mak diterima oleh Allah.

Saya sentiasa mendoakan kebaikan buat emak. Semoga apa yang diamalkan oleh kami akan mengalir juga kepada mak. Saya masih ingat kali terakhir bercakap dengan arwah emak adalah ketika hendak pergi ke satu seminar. Mengarapkan redha ibu itu yang selalu diajar bukan sahaja agama kan. 

Dengan suara yang lemah dan nafas yang lelah beliau kata,

"Pergilah, Mak doakan."


Sama seperti orang lain beliau  inginkan kejayaan untuk anaknya. Saya bersyukur kerana doa dan redha emak saya kira saya  jalani kehidupan yang baik.



Dan saya sentiasa yakin, kejayaan seseorang itu bukan hanya bergantung kepada pandainya semata-mata. Hakikatnya terikat dengan doa dan redha dari seorang ibu. Doa yang tidak pernah putus untuk anak-anak.

Marilah kita doakan ibu dan bapa kita. Walau siapa pun mereka.  

Alfatihah buat Noriah binti Normah.

Imam Hafs






No comments:

Post a Comment