Friday 23 November 2018

PENGALAMAN BERNIAGA

بسم الله الرحمن الرحيم


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Teks : Firdaos B. Mohd Rawi 

Saya masih ingat antara kepakaran arwah mak adalah buat kerepek bawang. Dan apabila tiba bulan Ramadan, maka bertambah banyak mak akan goreng kerepek bawang. Semua kerana tempahan mereka yang nak lengkapkan koleksi kuih raya mereka. Walau sesibuk mana pun atau tempahan dah berlebih mereka yang pernah makan pasti akan pujuk mak buat. Dapat sikit pun tak mengapalah. Janji dapat makan kerepek bawang arwah mak.

Saya pula biasa bawa bungkusan kecil kerepek bawang untuk dijual di sekolah.  Mak tak suruh pun. Tapi saya nak bawa, nak jual.

Selepas diletak dalam plastik kecil, pintu plastik ditutup dengan hujung haba lilin selepas dilipat sedikit. 

"Nah, ni awak bawa ke sekolah jual 20sen satu."

"Baik mak. 

Kadang-kadang saya jual kerepek kentang. Kentang yang dipotong sama nipis direndam dahulu di dalam air garam sebelum digoreng dan dimasinkan dengan garam.

Dibungkus, dihabakan dengan lilin dan beliau pesan.

"Nah, ni awak bawa ke sekolah jual 50sen satu."

Sampai ada satu ketika cikgu kelas mengingatkan pada saya yang tidak boleh berniaga di sekolah. 

Tapi nak buat macamana kalau kawan-kawan dah order.

Di sekolah menengah pula, saya yang tidak duduk di asrama ketika tingkatan dua dan tiga, pagi-pagi lagi sudah siap bungkus burger untuk dijual di sekolah. Yang masak siapa? Arwah mak juga.

"Nah, ni awak bawa ke sekolah jual satu seringgit.
Saya bawa basikal ke sekolah sejauh 5.3 kilometer berbekalkan 10 biji burger untuk dijual setiap hari.

Sehinggalah arwah mak kata, "Cukuplah, mak dah tak larat."
Begitulah sedikit pengalaman berniaga di alam persekolahan saya.

Terima kasih mak.

Imam Hafs

Rindu masih basah.
Alfatihah buat arwah mak saya Noriah.

No comments:

Post a Comment